Soalan ulasan: Ulasan Cochrane ini telah menilai sama ada rawatan fitoestrogen mengurangkan bilangan dan keparahan hangat memerah dan sama ada ia selamat dan dapat diterima.
Latar belakang: Rawatan hormon merupakan rawatan yang berkesan dalam mengawal simptom menopaus yang paling umum – hangat memerah dan peluh malam. Namun begitu, rawatan hormon kini hanya disarankan dengan dos rendah diberi selama tempoh masa paling sedikit yang boleh atas kebimbangan tentang peningkatan risiko untuk beberapa penyakit kronik. Ramai wanita telah mula menggunakan terapi yang mereka anggap ‘semulajadi’ dan selamat, tetapi mereka selalunya tidak mempunyai maklumat yang bagus tentang manfaat dan risiko yang mungkin berlaku. Beberapa terapi ini mengandungi fitoestrogen – sekumpulan bahan kimia yang berasal daripada tumbuhan yang difikirkan boleh mencegah atau merawat penyakit. Fitoestrogen dapat ditemui dalam pelbagai jenis tumbuhan, antaranya ialah makanan, terutamanya kacang soya, alfalfa, dan klover merah.
Ciri-ciri kajian: Ulasan ini menjumpai 43 RCT yang dijalankan sehingga Julai 2013 yang melibatkan 4,084 peserta dengan hangat memerah yang hampir menopaus atau telah menopaus. Bukti adalah terkini sehingga Disember 2013.
Keputusan utama: Beberapa kajian melaporkan sedikit pengurangan hangat memerah dan peluh malam dengan rawatan berdasarkan fitoestrogen. Ekstrak yang mengandungi jumlah genistein (bahan terbitan daripada soya) yang tinggi dilihat dapat mengurangkan bilangan hangat memerah harian dan harus dikaji dengan lebih lanjut. Secara keseluruhannya tidak terdapat tanda yang menunjukkan jenis fitoestrogen yang berlainan lebih berkesan daripada tiada rawatan. Tidak terjumpai bukti tentang kesan-kesan bahaya terhadap tisu pengalas rahim, perangsangan vagina atau kesan-kesan mudarat lain dengan penggunaan jangka pendek.
Kualiti bukti: Kebanyak kajian dalam ulasan ini adalah kecil, bertempoh pendek dan berkualiti rendah, dan jenis-jenis fitoestrogen yang digunakan amat berbeza.
Diterjemahkan oleh Hanis Hamdan (Ketua Pegawai Operasi, Yayasan Jantung Kongenital Malaysia). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my