Apakah faedah dan risiko dalam merawat sindrom prahaid dan gangguan disforik prahaid dengan perencat pengambilan semula serotonin terpilih?

Mesej utama

– rawatan perencat pengambilan semula serotonin terpilih mungkin mengurangkan penarafan gejala prahaid wanita dan mungkin lebih berkesan apabila diberikan secara berterusan berbanding apabila diberikan hanya dalam fasa luteal.

– Kesan-kesan tidak diingini bagi rawatan perencat pengambilan semula serotonin terpilih mungkin biasa terjadi; dimana loya (rasa mual), kelesuan dan keinginan yang kuat untuk tidur paling kerap dilaporkan.

Apakah itu sindrom prahaid dan gangguan disforik prahaid?

Sindrom prahaid (juga dikenali sebagai PMS) adalah keadaan yang agak biasa yang menjejaskan kesejahteraan fizikal, psikologi dan sosial wanita pada hari-hari menjelang haid, dan akan lega dengan permulaan haid (pendarahan). Ia disebabkan oleh perubahan hormon tetapi lebih teruk daripada perubahan mood biasa yang berlaku semasa kitaran haid. Wanita yang mengalami sindrom prahaid mungkin akan mengalami gejala kemurungan, kegusaran dan kejengkelan yang serius sehingga boleh menyebabkan tekanan teruk atau menjejaskan kehidupan seharian.

Sindrom prahaid yang serius dikenali sebagai gangguan disforik prahaid,yang mempunyai simptom psikologi yang lebih teruk dan tempoh simptom yang lebih lama serta menjejaskan 1% hingga 6% wanita. Gangguan ini ditakrifkan sebagai gejala psikiatri yang berulang, termasuk labiliti emosi (perubahan mood yang berlebihan, dimana emosi atau perasaan yang kuat (ketawa atau tangisan yang tidak terkawal, atau peningkatan kejengkelan atau baran) berlaku), mood yang rendah, tingkah laku agresif dan kejengkelan, yang juga berlaku pada hari-hari menjelang tempoh haid.

Bagaimanakah sindrom prahaid dan gangguan disforik prahaid dirawat?

Rawatan untuk sindrom prahaid dan gangguan disforik prahaid merangkumi intervensi gaya hidup seperti senaman fizikal, berhenti merokok dan pengurusan berat badan. Intervensi-intervensi lain termasuklah rawatan akupunktur, ubat-ubatan seperti kontraseptif oral yang mengandungi drospirenone dan ubat-ubatan herba.

Apakah itu perencat pengambilan semula serotonin terpilih?

Perencat pengambilan semula serotonin terpilih adalah sejenis ubat yang menghalang penyerapan semula serotonin, bahan kimia semulajadi yang bertindak sebagai zat pengantar di antara sel-sel otak. Mengubah keseimbangan serotonin nampaknya dapat meningkatkan mood. Perencat pengambilan semula serotonin terpilih biasa digunakan untuk merawat kemurungan dan kegusaran, tetapi ia mungkin berkesan untuk sindrom prahaid.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada perencat pengambilan semula serotonin terpilih adalah lebih baik daripada plasebo (rawatan semu) dalam meningkatkan penarafan kendiri simptom prahaid dalam kalangan wanita yang mengalami sindrom prahaid dan gangguan disforik prahaid, di samping meneroka kesan-kesan yang tidak diingini berkaitan rawatan ini.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan perencat pengambilan semula serotonin terpilih dengan plasebo dalam kalangan wanita yang mengalami sindrom prahaid dan gangguan disforik prahaid. Kami membanding dan merumuskan keputusan-keputusan kajian tersebut dan menilai tahap keyakinan kami terhadap kualiti bukti, berdasarkan faktor seperti perkaedahan dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami mengenal pasti 34 kajian yang melibatkan 4563 orang wanita yang mengalami sindrom prahaid serius atau gangguan disforik prahaid. Kajian-kajian tersebut diterbitkan antara tahun 1991 dan 2020, dan kebanyakannya dijalankan di negara-negara Barat; 19 kajian telah dijalankan di Amerika Syarikat. Kebanyakan wanita berumur 18 hingga 49 tahun. Sekurang-kurangnya 23 kajian (68%) dibiayai syarikat farmaseutikal.

Perencat pengambilan semula serotonin terpilih mungkin berkesan dalam mengurangkan gejala prahaid secara keseluruhan. Perencat pengambilan semula serotonin terpilih biasanya diambil sama ada dalam jangka masa dua minggu sebelum permulaan kitaran haid (fasa luteal) ataupun setiap hari (pengambilan berterusan). Kedua-dua rejimen nampaknya berkesan, walaupun pengambilan dos secara berterusan mungkin merupakan rawatan yang lebih berkesan .

Perencat pengambilan semula serotonin terpilih mungkin meningkatkan risiko kesan yang tidak diingini, dengan kesan loya, kelesuan dan mengantuk yang paling kerap terjadi. Kajian lain mendapati bahawa kesan loya mungkin bersifat sementara manakala kesan sampingan yang lain berlangsung lebih lama. Bukti menunjukkan bahawa jika risiko loya adalah sebanyak 7% dalam kumpulan rawatan plasebo, ia adalah sebanyak 20% (antara 16% hingga 24%) dalam kelompok rawatan perencat pengambilan semula serotonin terpilih. Ia juga menunjukkan bahawa risiko kelesuan adalah sebanyak 5% dalam kumpulan rawatan plasebo dan 14% (antara 10% hingga 20%) dalam kelompok rawatan perencat pengambilan semula serotonin terpilih. Penulis kajian mendapati bahawa loya mungkin berlaku sebagai kesan yang tidak diingini dalam kira-kira satu daripada lapan wanita yang mengambil perencat pengambilan semula serotonin terpilih untuk merawat gejala prahaid, dan kelesuan mungkin berlaku sebagai kesan yang tidak diingini dalam satu daripada setiap sembilan wanita yang dirawat.

Apakah batasan bukti?

Kami hanya mempunyai tahap keyakinan yang sederhana bukti kerana pelaporan perkaedahan yang lemah dalam kajian yang termasuk dalam ulasan ini. Disamping itu, lebih daripada dua pertiga daripada kajian tersebut dibiayai oleh syarikat farmaseutikal, yang mungkin bermakna kesannya menyokong ubat pihak penaja. Ini bermaksud bahawa keputusan tersebut mesti ditafsirkan dengan berhati-hati, dan kajian lanjut diperlukan untuk mengesahkan dapatan kajian.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemas kini ulasan yang terdahulu. Bukti ini dikemas kini sehingga November 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).

Tools
Information