Zonisamide sebagai ubat tambahan untuk epilepsi fokal yang tidak berkesan terhadap ubat lain

Latar belakang

Sekitar 70% orang dengan epilepsi boleh bebas daripada sawan dengan rawatan ubat antiepileptik. Baki 30% orang dengan epilepsi mungkin tidak berkesan terhadap ubat antiepileptik, dan mungkin mengalami sawan. Ubat-ubatan lama tidak dapat mengelakkan sawan untuk semua orang, dan ia mempunyai kesan-kesan sampingan. Ubat-ubatan baru dihasilkan untuk merawat orang yang tidak berkesan terhadap ubat-ubatan lama, dan cuba untuk mengurangkan kesan-kesan sampingan. Ubat-ubatan yang lebih baru ini boleh diambil bersama-sama dengan ubat yang sedia ada orang tersebut, sebagai rawatan ‘tambahan’.

Hasil-hasil utama

Carian daripada enam pangkalan data mendapati lapan percubaan rawak terkawal (1636 peserta), yang membandingkan penambahan zonisamide ubat antiepileptik kepada satu atau lebih ubat antiepileptik dengan plasebo, untuk tempoh 12 minggu, pada orang yang mengalami epilepsi fokal yang tidak terkawal.

Dengan mengambil kira semua bukti kajian, kami mendapati bahawa kekerapan sawan berkurang pada orang dengan epilepsi fokal jika zonisamide ditambahkan kepada rawatan biasa mereka. Peserta yang dirawat dengan 300mg hingga 500mg/hari zonisamide adalah dua kali ganda lebih mungkin berbanding dengan orang yang diberi tablet plasebo sebagai tambahan kepada rawatan biasa mereka, untuk mengalami sekurang-kurangnya 50% pengurangan dalam kekerapan sawan mereka. Walau bagaimanapun, penambahan zonisamide pada rawatan biasa mereka dikaitkan dengan peningkatan kesan sampingan, seperti masalah dengan penyelarasan (ataxia), mengantuk, gelisah dan kurang selera makan (anoreksia).

Kepastian bukti

Kami menilai bahawa risiko bias dalam kajian individu adalah rendah, atau kami tidak mempunyai maklumat yang mencukupi untuk membuat keputusan. Lima daripada lapan kajian ditaja oleh syarikat ubat yang menghasilkan zonisamide. Kami menilai kepastian bukti untuk hasil utama sebagai sederhana. Kajian lanjut mungkin dapat memainkan peranan yang penting dalam peningkatan keyakinan terhadap penganggaran kesan dan perubahan penganggaran. Kajian yang lebih banyak yang menumpukan pada pemeriksaan tindak balas dos zonisamide yang berbeza diperlukan.

Bukti adalah terkini sehingga September 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau) dan disunting oleh Chan Mei Wai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information