Serenoa repens untuk hiperplasia prostat jinak

Persoalan ulasan

Adakah Serenoa repens secara bersendirian atau digabungkan dengan agen fitoterapeutik lain memperbaiki gejala pada lelaki dengan pembesaran prostat jinak?

Latar belakang

Prostat yang membesar boleh menyebabkan gejala saluran kencing yang melecehkan seperti sering membuang air kecil baik pada waktu siang mahupun pada waktu malam, mengalami aliran air kencing yang lemah, dan mengalami perasaan pundi kencing belum dikosongkan sepenuhnya. Selain intervensi melibatkan ubat lazim, pendekatan yang menggunakan tumbuh-tumbuhan dan herba (fitoterapi) merupakan suatu amalan berleluasa dan sedang berkembang secara berterusan di kebanyakan negara Barat. Ekstrak beri dari American saw palmetto, atau tumbuhan sawit kerdil, Serenoa repens , yang juga dikenali dengan nama botaninya Sabal serrulatum , adalah salah satu daripada beberapa agen fitoterapeutik yang tersedia untuk rawatan keadaan ini.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti 27 kajian yang melibatkan 4656 orang lelaki dan membandingkan penggunaan Serenoa repens secara bersendirian atau secara gabungan dengan produk herba lain dengan rawatan plasebo (iaitu rawatan di mana peserta diperdaya bahawa mereka menerima rawatan sedangkan sebenarnya mereka tidak). Kebanyakan kajian melibatkan lelaki berusia melebihi 50 dan mempunyai gejala sederhana. Sepuluh kajian telah dibiayai oleh badan farmaseutikal; dua buah kajian menerima pendanaan kerajaan; dan kajian selebihnya tidak mengisytiharkan sumber pembiayaan.

Keputusan utama

Berdasarkan kajian yang paling boleh dipercayai, penggunaan Serenoa repens secara tunggal menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dari segi gejala saluran kencing atau kualiti hidup berbanding plasebo pada tiga hingga enam bulan rawatan. Rawatan ini juga berkemungkinan tidak dikaitkan dengan kejadian peristiwa mudarat. Keputusan adalah serupa pada 12 hingga 17 bulan rawatan.

Serenoa repens dalam gabungan dengan produk herba lain mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dari segi simptom saluran kencing, tetapi terdapat lebih banyak keraguan tentang kesan ke atas kualiti hidup dan kejadian peristiwa mudarat.

Penemuan ulasan ini adalah terkini setakat 16 Mac 2022.

Kepastian bukti

Kepastian bukti amat tinggi atau sederhana untuk penggunaan Serenoa repens secara tunggal, tetapi bertahap rendah untuk penggunaan Serenoa repens dalam gabungan dengan ejen lain, bermakna keyakinan kami terhadap keputusan keseluruhan adalah tinggi, sederhana atau rendah.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information