Soalan ulasan
Kami mengulas bukti tentang kesan kortikosteroid pada pemulihan visual orang dengan neuritis optik akut.
Latar belakang
Neuritis optik adalah keradangan saraf optik yang membawa kepada kehilangan penglihatan secara tiba-tiba yang berlaku selama beberapa jam atau hari. Saraf optik, yang memasuki bahagian di belakang mata, membawa maklumat visual dari mata ke otak. Apabila saraf optik mengalami keradangan, kerosakan mungkin berlaku. Oleh itu, maklumat dari mata ke otak terganggu, mengakibatkan kehilangan penglihatan secara sementara atau kekal. Neuritis optik berkait rapat dengan sclerosis berganda (multiple sclerosis (MS)), penyakit radang yang menjejaskan sel saraf secara amnya. Kortikosteroid telah digunakan secara meluas dalam rawatan neuritis optik kerana kesan anti-radangnya.
Ciri-ciri kajian
Untuk ulasan sistematik ini, kami mengenal pasti enam kajian yang dijalankan di Denmark, Jerman, India, Jepun, United Kingdom, dan Amerika Syarikat, yang merangkumi 750 peserta. Kajian tersebut membandingkan rawatan kortikosteroid dengan plasebo atau rawatan lain; mereka berbeza dalam cara kortikosteroid diberikan dan dosnya. Dua kajian membandingkan kortikosteroid oral berbanding plasebo; tiga kajian membandingkan kortikosteroid intravena berbanding plasebo; satu kajian membandingkan dua jenis kortikosteroid intravena; dan satu kajian dengan tiga kumpulan membandingkan kortikosteroid oral berbanding kortikosteroid intravena berbanding plasebo. Peserta dalam semua enam kajian telah disusuli selama sekurang-kurangnya tiga bulan. Hasil ketajaman penglihatan, sensitiviti kontras dalam julat normal dan medan penglihatan dinilai pada 1, 6, dan 12 bulan. Kualiti hidup juga dinilai dan dilaporkan dalam satu kajian. Informasi ini adalah terkini sehingga 7 April 2015.
Hasil utama
Tiada bukti sedia ada tentang kesan berfaedah daripada kortikosteroid oral atau intravena berbanding plasebo untuk ketajaman penglihatan, medan penglihatan, dan hasil sensitiviti kontras. Kesan buruk, walaupun tidak dilaporkan secara konsisten, merangkumi gejala dermatologi, gangguan endokrinologi, masalah gastrointestinal, sakit kepala, demam, gangguan tidur dan masalah psikiatri. Kejadian buruk yang teruk telah dilaporkan dalam kumpulan rawatan steroid intravena bagi satu kajian. Penyiasat tiga kajian menyimpulkan bahawa kejadian buruk kecil adalah lebih biasa untuk berlaku dalam kumpulan steroid berbanding kumpulan plasebo.
Kualiti bukti
Daripada enam kajian yang disertakan dalam ulasan ini, kami menilai satu kajian mempunyai risiko bias yang tinggi kerana menyertakan satu subset peserta yang dibenarkan untuk memilih intervensi mereka. Lima kajian yang selebihnya mempunyai sama ada risiko bias yang rendah atau tidak pasti.
Diterjemah oleh Tang Kar Foong (Ministry of Health Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my