Sklerosis lateral amiotrofik (ALS)/penyakit saraf motor (MND) adalah penyakit neurologi fatal yang menghasilkan kelumpuhan anggota badan, menelan dan otot pernafasan. Tiada rawatan yang sedia ada untuk menghentikan atau membalikkan perjalanan progresifnya. Dalam ulasan ini, kami mengkaji bukti dari empat kajian klinikal rawak yang melibatkan 1477 orang dengan ALS. Kualiti metodologi kajian adalah boleh terima dan tiga daripada kajian tersebut dapat dibandingkan dengan mudah (walaupun satu daripadanya memasukkan pesakit yang lebih tua dengan ALS lanjutan). Carian untuk ulasan ini telah dikemas kini pada 2011, ketika kami tidak menemukan kajian rawak terkawal baharu. Keputusan menunjukkan riluzole 100 mg mungkin memanjangkan survival median dalam kalangan orang dengan ALS sebanyak dua hingga tiga bulan dan keselamatan ubat tidak merupakan kebimbangan utama. Bukti dari kajian rawak terkawal menunjukkan peserta yang mengambil riluzole mungkin hidup lebih lama daripada peserta yang mengambil plasebo. Kesan manfaat adalah sangat sederhana dan ubatnya mahal. Terdapat kesan manfaat yang kecil pada kedua-dua fungsi bulbar dan anggota badan, tetapi tidak pada kekuatan otot. Kesan buruk dari riluzole adalah agak kecil dan sebahagian besarnya berbalik selepas pemberhentian ubat.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.