Ubat untuk rawatan tekanan darah yang sangat tinggi semasa mengandung

Wanita mengandung dengan tekanan darah yang sangat tinggi (hipertensi) boleh mengurangkan tekanan darah mereka dengan ubat-ubatan antihipertensi, tetapi ubat antihipertensi yang paling berkesan yang digunakan semasa kehamilan adalah tidak diketahui. Tujuan terapi antihipertensi adalah untuk mengurangkan tekanan darah dengan cepat tetapi dengan selamat untuk kedua-dua ibu dan bayi, mengelakkan penurunan mendadak pada tekanan darah yang boleh menyebabkan pening atau ketidaksejahteraan janin.

Semasa kehamilan, tekanan darah wanita akan jatuh dalam beberapa minggu pertama kemudian meningkat perlahan-lahan dalam pertengahan kehamilan, mencapai tahap pra-kehamilan semasa cukup bulan. Wanita mengandung yang mempunyai tekanan darah yang sangat tinggi (sistolik melebihi 160 mmHg, diastolik 110 mmHg atau lebih) berisiko untuk mendapat pra-eklampsia dengan kegagalan fungsi buah pinggang dan bersalin pramatang atau mengalami strok. Ulasan daripada 35 kajian rawak terkawal di mana 3573 wanita (pada pertengahan hingga akhir peringkat kehamilan, yang dinyatakan) mendapati bahawa walaupun ubat-ubatan antihipertensi berkesan dalam menurunkan tekanan darah, tidak ada bukti yang cukup untuk menunjukkan ubat mana yang paling berkesan. Lima belas perbandingan rawatan antihipertensi yang berbeza telah dimasukkan dalam 35 kajian ini, yang bermaksud ada perbandingan hanya dibuat dalam satu kajian. Hanya satu kajian yang mempunyai bilangan peserta yang banyak. Kajian ini membandingkan nimodipine dengan magnesium sulfat dan ia menunjukkan bahawa tekanan darah tinggi masih kekal dalam 47% dan 65% wanita, masing-masing. Penyekat saluran kalsium dikaitkan dengan hipertensi yang kurang berterusan berbanding hydralazine dan mungkin kurang kesan sampingan berbanding labetalol. Terdapat beberapa bukti menyatakan bahawa diazoksida boleh menyebabkan penurunan mendadak pada tekanan darah wanita, dan ketanserin mungkin tidak berkesan seperti hydralazine. Kajian lanjutan mengenai kesan ubat antihipertensi semasa kehamilan adalah diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (International Medical University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi peiyee95@hotmail.com.

Tools
Information