Soalan ulasan
Kami mengulas bukti kesan vaksinasi untuk Streptococcus pneumoniae (pneumokokus, sejenis bakteria) untuk mencegah jangkitan telinga tengah akut dalam kalangan kanak-kanak.
Latar belakang
Sebelum perlaksanaan seluruh negara vaksinasi terhadap S pneumoniae dengan vaksin konjugat (PCV), pneumokokus adalah punca paling kerap jangkitan telinga tengah akut dalam kalangan kanak-kanak. Vaksinasi terhadap bakteria ini dengan PCV mungkin mengurangkan jangkitan telinga tengah akut dalam kalangan kanak-kanak. Walau bagaimanapun, pemantauan berterusan kesan PCV terhadap jangkitan telinga tengah akut adalah wajar, kerana kajian terbaharu melaporkan perubahan bakteria yang menyebabkan jangkitan telinga tengah akut ke arah jenis pneumokokus yang tidak termasuk dii dalam vaksin dan bakteria lain.
Ciri-ciri kajian
Bukti adalah terkini sehingga 11 Jun 2020. Kami memasukkan 11 kajian PCV berbanding vaksin kawalan (meningokokus konjugat jenis C dalam tiga kajian, dan vaksin Hepatitis A atau B dalam lapan kajian) melibatkan sejumlahi 60,733 kanak-kanak. PCV yang diguna di dalam kajian-kajian tersebut mengandungi 7 hingga 11 jenis pneumokokus yang berbeza. Tiada kajian menggunakan PCV baharu yang mengandungi 13 jenis yang berbeza. Kebanyakan kajian dibiaya oleh syarikat farmaseutikal. Secara keseluruhan, risiko bias adalah rendah. Di dalam tujuh kajian (59,415 kanak-kanak) menerima PCV di awal peringkat bayi, sementara empat kajian memasukkan 1318 kanak-kanak berumur satu tahun ke atas yang sihat atau yang pernah mengalami penyakit respiratori.
Keputusan utama
Apabila vaksin berlesen yang mengandungi tujuh jenis pneumokokus (CRM197-PCV7) diberi semasa peringkat awal bayi, risiko mengalami jangkitan telinga tengah akut meningkat sebanyak 5% dalam kalangan bayi berisiko tinggi dan mengurangkan sebanyak 6% dalam kalangan bayi berisiko rendah. Apabila memberi vaksin berlesen yang mengandungi 10 jenis pneumokokus bersama-sama dengan protein pengangkut dari bakteria lain yang dipanggil Hemophilus influenzae (PHiD-CV10), risiko mengalami jangkitan telinga tengah akut menurun 6% hingga 15%, walau bagaimanapun anggaran-anggaran ini tidak signifikan.
Memberi PCV7 selepas peringkat awal bayi (kanak-kanak berumur satu tahun ke atas), dan kanak-kanak lebih berusia dengan sejarah penyakit respiratori atau jangkitan telinga tengah akut tidak dikaitkan dengan pengurangan jangkitan telinga tengah akut.
Tindakbalas setempat yang ringan (kemerahan, bengkak), demam, dan kesakitan/rasa sakit adalah lazim dan berlaku lebih kerap dalam kalangan kanak-kanak yang menerima PCV berbanding yang menerima vaksin kawalan. Tindakbalas setempat yang lebih teruk (kemerahan dan bengkak > 2.5 sm) dan demam (> 39 °C) kurang berlaku dan tidak berbeza di antara kumpulan-kumpulan vaksin. Kejadian buruk serius yang dinilai berkaitan vaksinasi jarang berlaku dan tidak berbeza dengan ketara antara kumpulan-kumpulan vaksin.
Kepastian bukti
Kami menilai kepastian bukti untuk CRM197-PCV7 pada awal usia bayi adalah sederhana (kajian lanjut mungkin memberi impak penting dalam keyakinan kami terhadap anggaran kesan dan mungkin mengubah anggaran). Kami menilai kepastian bukti untuk PHiD-CV10 sebagai rendah (kajian lanjut sangat mungkin memberi impak penting dalam keyakinan kami terhadap anggaran kesan dan mungkin akan mengubah anggaran). Kami menilai kepastian bukti untuk -PCV7 pada kanak-kanak yang lebih tua dengan atau tanpa riwayat penyakit pernafasan adalah sederhana (kajian lanjut mungkin memberi impak penting dalam keyakinan kami terhadap anggaran kesan dan mungkin mengubah anggaran).
Diterjemah oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my