Rawatan penyakit refluks gastro-oesophageal untuk membantu dalam pengurusan asma pada orang dewasa dan kanak-kanak

Latar belakang

Orang dengan asma adalah tiga kali lebih mungkin mengalami refluks (di mana asid dari perut muncul kembali ke oesophagus) daripada orang sihat. Refluks mungkin menjadi pencetus asma, atau sebagai alternatif, asma mungkin mencetuskan refluks. Rawatan yang dapat membantu refluks termasuk ubat-ubatan yang mengurangkan asid perut atau memperbaiki pengosongan perut. Kajian penyelidikan mendapati manfaat yang tidak konsisten untuk meningkatkan simptom asma atau fungsi paru-paru. Walaupun asma mungkin bertambah baik dalam sesetengah orang, ia adalah tidak mungkin untuk meramalkan sesiapa yang akan mendapat manfaat.

Soalan tinjauan

Tinjauan ini bertujuan untuk mengkaji sama ada rawatan untuk penyakit reflux gastro-oesophageal (gastro-oesophageal reflux disease, GORD) memberi manfaat kepada orang dewasa serta kanak-kanak dengan asma.

Ciri-ciri kajian

Untuk menjawab soalan ini, kami mencari semua percubaan rawak terkawal (randomised controlled trials, RCTs) yang membandingkan rawatan GORD (intervensi medikal dan/atau pembedahan) dengan plasebo atau tidak ada rawatan pada orang dewasa atau kanak-kanak yang didiagnos menghidap asma dan GORD.

Keputusan utama

Kami menjumpai 23 kajian untuk dimasukkan dalam tinjauan ini. Kajian-kajian ini fokus lebih pada orang dewasa, dengan melibatkan sejumlah 2872 peserta. Terdapat hanya dua kajian yang menilai kesan mengubati GORD pada kanak-kanak, dan dua kajian menilai faedah menggunakan pembedahan untuk GORD supaya dapat meningkatkan kawalan asma. Menurut bukti yang dikemukakan dalam tinjauan ini, penggunaan ubat untuk merawat GORD pada orang dengan asma mungkin dapat mengurangkan jumlah ubat penyelamat yang diperlukan untuk mengawal simptom asma dan juga mungkin meningkatkan fungsi paru-paru ke tahap yang kecil. Ia adalah penting untuk mengetahui bahawa faedah ini mungkin terlalu kecil untuk memberi kesan kepada kehidupan seharian seseorang yang menghidap asma.

Berdasarkan bukti yang sedia ada, tinjauan ini tidak dapat menunjukkan manfaat yang jelas daripada rawatan terhadap simptom asma untuk kualiti hidup, atau berapa kali serangan asma dialami oleh seseorang yang menghidap asma. Ini adalah kerana para penyelidik menggunakan banyak pendekatan yang berbeza untuk merawat orang yang mengambil bahagian dalam kajian mereka, ia juga sukar untuk mencadangkan sejenis regimen ubat tertentu adalah terbaik. Tidak banyak kajian yang disertakan melaporkan tentang kesan-kesan negatif terlibat dengan penyelidikan. Mereka yang melaporkan kesan negatif dalam tempoh penyelidikan melaporkan bahawa kesan negatif berlaku sama rata pada kumpulan rawatan dan plasebo/ tanpa rawatan.

Kami tidak menemui data dalam kajian yang dsertakan berkaitan dengan kemasukan hospital atau ke bilik kecemasan atau lawatan ke doktor yang tidak dijadualkan.

Kepastian bukti

Keseluruhannya, kepastian bukti dinilai sebagai sederhana hingga rendah. Ini terutamanya kerana kajian-kajian yang disertakan dalam tinjauan ini sangat berbeza dengan cara mereka melakukan penyelidikan, yang menghasilkan hasil yang berbeza-beza.

Kesimpulannya

Bukti kepastian sederhana ( kerana beberapa kajian yang disertakan kurang dijelaskan) menunjukkan bahawa dengan rawatan perubatan untuk GORD, orang dengan asma mungkin mengalami peningkatan kecil pada fungsi paru-paru dan mungkin dapat mengurangkan keperluan mereka untuk menggunakan ubat penyelamat. Walau bagaimanapun, kesan rawatan untuk GORD pada kejadian seperti serangan asma, simptom atau keperluan untuk pergi ke hospital atau berjumpa dengan doktor adalah tidak pasti. Selain itu, bukti yang tidak mencukupi, dengan hanya dua kajian yang melaporkan salah satu, untuk menilai rawatan pembedahan atau keberkesanan rawatan GORD pada kanak-kanak.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Teh Keng Hwang (UniSHAMS). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information