Intervensi untuk pesakit sindrom nefrotik dewasa dengan diagnosis ‘minimal change disease’

Apakah isunya?

Sindrom nefrotik ialah satu keadaan di mana buah pinggang mengalami kebocoran dan protein dari darah mengalir ke dalam air kencing. ‘Minimal change disease’ (MCD) yang ditakrifkan pada biopsi buah pinggang adalah penyebab primer penyakit buah pinggang yang ketiga paling kerap pada orang dewasa dengan sindrom nefrotik yang tidak dapat dijelaskan (10% hingga 15%). Regimen rawatan yang paling berkesan belum dapat ditentukan lagi.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mengenalpasti semua kajian rawak terkawal (RCT), yang mengkaji rawatan bagi orang dewasa dengan sindrom nefrotik akibat ‘minimal change disease’ ini. Kami mencari RCT yang menilai terapi steroid dan yang menilai ejen lain dengan/tanpa terapi steroid.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 15 kajian yang menyertakan 769 peserta secara rawak, di mana keputusannya boleh dinilai. Penghalang calcineurin (tacrolimus, cyclosporin) dengan/tanpa ubat prednisolone dengan dos yang rendah mempunyai keberkesanan yang serupa dengan prednisolone sahaja dalam mencapai remisi tanpa perbezaan dalam bilangan pesakit yang mempunyai kerintangan atau yang mendapat pengulangan episod nefrotik (lapan kajian) tetapi dengan kurang kesan sampingan seperti obesiti dan jerawat. Natrium mikofenolat bersalut enterik mempunyai keberkesanan yang serupa dengan prednisolone sahaja dalam mencapai remisi tanpa terdapat perbezaan terhadap kesan sampingan. Kami mendapati bahawa tidak jelas sama ada prednisolone berbanding tanpa rawatan atau metilprednisolone secara intravena mempengaruhi bilangan peserta dengan remisi atau yang mendapat pengulangan episod nefrotik kerana kepastian bukti adalah sangat rendah. Dalam satu kajian kecil, tiada perbezaan dalam bilangan dengan remisi atau mendapat pengulangan episod nefrotik yang dikenalpasti dengan levamisole berbanding dengan prednisolone. Kami tidak menemui sebarang kajian yang lengkap yang menilai rituximab tetapi dua kajian sedang dijalankan.

Kesimpulan

Kami mendapati bahawa data yang disertakan dalam ulasan yang dikemaskini ini menunjukkan bahawa inhibitor calcineurin dan natrium mikofenolat bersalut enterik mungkin berkesan dalam mencapai remisi di kalangan orang dewasa dengan sindrom nefrotik akibat MCD dengan sedikit pengurangan kesan sampingan berbanding terapi prednisolone dos tinggi. Kajian berkaitan terapi ini terhadap mereka yang mendapat pengulangan episod nefrotik dan dalam MCD yang mempunyai kerintangan terhadap terapi prednisolone diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information