Pembedahan untuk memperbaik penglihatan dalam kalangan pesakit dengan neuropati optik iskemik anterior bukan arteri (NAION)

Soalan ulasan
Ulasan ini menilai bukti tentang keselamatan dan keberkesanan pembedahan (pembedahan dekompresi saraf optik) berbanding tiada rawatan ke atas penglihatan orang dengan neuropati optik iskemik anterior bukan arteri (NAION).

Latar belakang
NAION adalah kehilangan penglihatan mengejut tanpa rasa sakit dalam mata akibat kebengkakan kawasan di dalam mata di mana saraf optik berhubung dengan mata. Kebengkakan tisu memberi tekanan kepada saraf optik, dan dipercayai tekanan ini mengganggu bekalan darah ke saraf optik, menyebabkan hilang penglihatan. Punca NAION tidak diketahui. Tiada rawatan yang terbukti dapat membantu.

Rawatan yang dicadangkan untuk NAION adalah pembedahan dekompresi saraf optik. Pembedahan ini melibatkan dua torehan atau tingkap pada tisu mata yang bengkak di sekitar saraf optik. Torehan tersebut membolehkan aliran cecair yang terkumpul di sekitar saraf optik. Ia diharap dapat mengurangkan tekanan kepada saraf optik dan memperbaik penglihatan.

Ciri-ciri kajian
Carian kajian-kajian dibuat pada 23 Oktober 2014. Satu kajian (kajian rawak terkawal) ditemui. Terdapat 258 peserta dalam kajian tersebut. 258 peserta tersebut dibahagi secara rawak kepada dua kumpulan. Satu kumpulan menjalani pembedahan dekompresi saraf optik bersama rawatan susulan yang teliti. Kumpulan yang satu lagi hanya mendapat rawatan susulan yang teliti. Rawatan susulan yang teliti termasuklah pemeriksaan oftalmologi di setiap lawatan belajar dan ujian medan penglihatan pada 12 bulan dan jika perlu. Juruteknik yang melakukan ujian rawatan susulan tersebut tidak tahu tentang kumpulan para peserta (pembedahan atau tiada pembedahan). Pembiayaan kajian disediakan oleh Insitut Mata Nasional, Amerika Syarikat.

Keputusan utama
Kajian dihentikan lebih awal kerana pembedahan tidaklah lebih membantu para peserta berbanding rawatan susulan secara teliti. Kajian tersebut tidak menemui bukti manfaat pembedahan, tetapi terdapat beberapa mudarat akibat pembedahan, seperti hilang penglihatan yang berterusan. Sakit dan penglihatan berganda adalah mudarat yang dialami oleh beberapa peserta dalam kumpulan pembedahan pada satu minggu selepas pembedahan. Penyiasat kajian melaporkan pendaftaran berterusan peserta tidak mungkin memberi keputusan yang meyokong pembedahan.

Kualiti bukti
Kualiti bukti dalam kajian tunggal ini dianggap tinggi.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah) Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information