Sehingga baru-baru ini, kaedah pembersihan usus mekanikal yang teliti (persediaan usus kaedah mekanikal), bersama dengan penggunaan ubat makan antibiotik, dianggap berguna untuk mengurangkan risiko komplikasi septik selepas pembedahan kolorektal bukan kecemasan (elektif). Persediaan usus kaedah mekanikal telah dilaksanakan secara rutin sebelum pembedahan kolorektal sehingga tahun 1972, di mana prosedur ini mula dipersoalkan. Kajian-kajian klinikal yang direka dengan baik telah diterbitkan, dan keputusan yang diperolehi menyebabkan beberapa pakar bedah meragui kepercayaan tradisional ini.
Ulasan ini telah mengenal pasti semua kajian yang membandingkan apa-apa jenis persediaan usus kaedah mekanikal dengan tiada persediaan langsung (perbandingan 1) dan persediaan usus kaedah mekanikal dengan enema rektal (perbandingan 2) pada pesakit-pesakit yang menjalani pembedahan kolorektal elektif. Lima kajian yang baru telah dimasukkan dalam kemas kini ketiga ulasan ini, dan membawa jumlah kajian yang termasuk dalam ulasan ini kepada 18 (5805 orang peserta) Analisis 18 kajian ini menunjukkan bahawa tiada perbezaan statistik yang signifikan pada keadaan pesakit dalam tiga kumpulan (kumpulan persediaan usus kaedah mekanikal, kumpulan tiada persediaan langsung dan kumpulan enema rektal) selepas pembedahan dari segi kebocoran di tempat jahitan di antara dua belah usus, kadar kematian, peritonitis, keperluan pembedahan semula, jangkitan di luka dan komplikasi-komplikasi perut yang lain. Oleh yang demikian, tiada bukti bahawa persediaan usus kaedah mekanikal membawa lebih manfaat kepada pesakit.Penyelidikan yang lanjut dalam persediaan usus kaedah mekanikal atau enema berbanding dengan tiada persediaan untuk pesakit yang menjalani pembedahan rektal elektif atau pembedahan kolorektal laparoskopik adalah wajar.
Diterjemahkan oleh Teng Xiu Xin (Penang Medical College). Disunting oleh Teh Keng Hwang (Kolej Universiti Insaniah). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi xiuxin_c2017@ms.pmc.edu.my