Rawatan pembedahan atau bukan pembedahan: yang mana lebih berkesan untuk sindrom carpal tunnel?
Mesej utama
Pembedahan mungkin menghasilkan kadar peningkatan klinikal yang lebih tinggi daripada penggunaan splint selepas susulan selama 6 hingga 12 bulan. Bukti tentang yang mana antara dua rawatan mungkin mempunyai kesan yang kurang berbahaya adalah tidak pasti.
Bukti adalah tidak pasti jika peningkatan klinikal atau kadar kesan berbahaya berbeza antara pembedahan dan suntikan kortikosteroid selepas susulan selama 6 hingga 12 bulan.
Secara amnya, kami kurang yakin tentang keberkesanan pembedahan di kalangan orang dengan sindrom carpal tunnel kerana kami tidak menemui kajian yang membandingkan pembedahan dengan pembedahan plasebo atau tiada rawatan. Kajian selanjutnya harus menangani jurang bukti ini.
Apa itu sindrom carpal tunnel?
Sindrom carpal tunnel adalah keadaan di mana saraf median di pergelangan tangan termampat, menyebabkan kebas, kesemutan pada ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah, dan kesakitan. Dalam kes yang teruk, sensasi kulit boleh berkurangan secara kekal dan mampatan boleh menyebabkan kehilangan otot di pangkal ibu jari.
Bagaimana sindrom carpal tunnel dirawat?
Biasanya, rawatan bukan pembedahan seperti splint, suntikan kortikosteroid, senaman dan terapi manual ditawarkan sebagai rawatan lini pertama. Pembedahan dipertimbangkan untuk orang yang mengalami gejala berterusan dan kadangkala sebagai rawatan utama untuk orang yang mengalami gejala yang teruk.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Sama ada rawatan pembedahan atau bukan pembedahan lebih berfaedah dan kurang memudaratkan untuk merawat sindrom carpal tunnel.
Apa yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan pembedahan dengan 1) tiada rawatan atau rawatan plasebo, atau 2) sebarang rawatan bukan pembedahan. Kami membandingkan kadar peningkatan klinikal, gejala, fungsi tangan, kesakitan dan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, serta kesan berbahaya dan keperluan untuk pembedahan selanjutnya. Kami mengumpul dan menganalisa data berdasarkan kaedah Cochrane.
Apakah yang kami temui?
Kami mendapati 14 kajian yang merawakkan 1231 orang: purata umur antara 32 dan 53 tahun; 84% perempuan; mewakili sembilan negara dari Asia, Eropah dan Amerika Utara; tempoh gejala 31 minggu hingga 3.5 tahun dengan tahap keterukan yang berbeza-beza. Pembedahan dibandingkan dengan 1) penggunaan splint, 2) suntikan kortikosteroid, 3) penggunaan splint dan suntikan kortikosteroid, 4) suntikan plasma kaya platelet, 5) terapi manual (tiga sesi rawatan selama 30 minit termasuk pergerakan desensitisasi, sekali seminggu), 6) rawatan bukan operasi multimodal (gabungan enam lawatan terapi tangan, pengubahsuaian aktiviti, ubat anti-radang bukan steroid, penggunaan splint, diikuti dengan rawatan ultrasound jika perlu), 7) rawatan perubatan dan sokongan tangan yang tidak ditentukan. Tambahan, satu kajian membandingkan suntikan kortikosteroid dengan pembedahan beserta suntikan kortikosteroid. Dua kajian melaporkan penglibatan orang yang tidak bertindak balas terhadap sekurang-kurangnya 2 minggu rawatan bukan pembedahan. Saiz kajian berbeza daripada 22 hingga 176 orang. Sepuluh kajian mengukur hasil pada susulan jangka panjang (lebih dari 3 bulan, biasanya 6 atau 12 bulan).
Kami tidak menemui kajian yang membandingkan pembedahan dengan pembedahan plasebo atau tiada rawatan.
Keputusan utama
Oleh kerana pembedahan sering digunakan untuk kesan jangka panjangnya, ringkasan ini memfokuskan pada susulan jangka panjang (6 hingga 12 bulan).
Pembedahan berbanding penggunaan splint
Pembedahan mungkin menghasilkan kadar peningkatan klinikal yang lebih tinggi (dua kali) berbanding dengan penggunaan splint. Walau bagaimanapun, pembedahan mungkin tidak lebih bermanfaat daripada penggunaan splint untuk memperbaik gejala atau fungsi tangan, atau kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan am.
Kami tidak pasti jika risiko kesan berbahaya berbeza antara pembedahan dan penggunaan splint. Sesetengah orang dalam kumpulan penggunaan splint mengalami kemudaratan yang berkait dengan pembedahan kerana mereka telah menjalani pembedahan sebelum hasilnya diukur. Walau bagaimanapun, pembedahan mungkin mengurangkan keperluan untuk pembedahan selanjutnya.
Pembedahan berbanding suntikan kortikosteroid
Kami tidak pasti sekiranya peningkatan klinikal, kelegaan gejala, risiko untuk kesan berbahaya dan keperluan untuk pembedahan lanjut berbeza antara pembedahan dan suntikan kortikosteroid. Fungsi tangan atau kesakitan mungkin tidak jauh berbeza.
Perbandingan lain
Pembedahan mungkin agak lebih berfaedah daripada rawatan bukan operasi multimodal untuk memperbaik gejala, tetapi mungkin tidak memberikan manfaat untuk hasil lain.
Pembedahan mungkin menghasilkan kadar peningkatan klinikal yang lebih tinggi daripada terapi manual (1.6 kali) tetapi mungkin tidak memberikan manfaat untuk hasil lain.
Kami tidak pasti jika pembedahan memberikan lebih banyak faedah berbanding dengan gabungan splint dan suntikan kortikosteroid.
Apakah batasan bukti?
Had yang paling penting ialah terdapat tiada bukti sedia ada untuk menentukan sama ada pembedahan lebih baik daripada tiada rawatan atau sekiranya pembedahan lebih berkesan daripada meneruskan rawatan bukan pembedahan untuk orang yang tidak bertambah baik dengan intervensi bukan pembedahan. Selain itu, tidak jelas sama ada pembedahan boleh memberikan kesan yang lebih tahan lama selepas beberapa tahun susulan.
Keyakinan kami terhadap bukti mengenai perbezaan antara rawatan pembedahan dan bukan pembedahan kebanyakannya dipengaruhi oleh kenyataan bahawa orang dalam kesemua kajian mengetahui rawatan manakah yang mereka terima. Ini boleh menjejaskan cara orang melaporkan hasil dan mengakibatkan anggaran kesan rawatan yang berat sebelah. Tambahan pula, dalam dua kajian besar, sehingga 40% orang, yang diperuntukkan secara rawak kepada rawatan bukan pembedahan, memilih pembedahan semasa kajian dan telah pun menjalaninya pada masa hasil jangka panjang diukur. Jika orang-orang ini tidak menjalani pembedahan, keadaan mereka mungkin lebih teruk, dengan faedah pembedahan yang dipandang remeh.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga November 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).