Antidepresan untuk sakit pinggang yang tidak spesifik

Sakit pinggang adalah keadaan lazim yang mempengaruhi hingga 80% orang dewasa sepanjang hayat mereka. Dalam kebanyakan kes, sakit pinggang tiada sebab yang dapat dikenal pasti dan diistilah sebagai "tidak spesifik".

Sakit pinggang biasanya bersifat benigna dan swamengehad. Umumnya ia sembuh dalam enam minggu dengan atau tanpa rawatan.

Walau bagaimanapun, sebanyak 30% individu melaporkan sakit pinggang yang berulang atau gejala yang berterusan. Akibatnya, sakit pinggang adalah salah satu sebab paling lazim lawatan perubatan dan ini mengakibatkan kerugian ekonomi yang besar di seluruh negara maju disebabkan produktiviti yang menurun, tidak hadir bekerja dan persaraan awal.

Antidepresan adalah lazim dalam rawatan sakit pinggang. Doktor mempreskribnya kepada pesakit-pesakit dengan sakit pinggang atas tiga sebab utama: untuk melegakan sakit, membantu tidur dan mengurangkan kemurungan. Walau bagaimanapun, preskripsi antidepresan sebagai rawatan untuk sakit pinggang kekal kontroversial kerana bukti saintifik yang bercanggah.

Kajian yang dikemaskini ini dinilai sama ada penggunaan antidepresan adalah bermanfaat dalam pengurusan kesakitan belakang badan yang tidak spesifik. Kami mengenal pasti sepuluh kajian yang membandingkan antidepresan dengan plasebo (bahan tidak aktif yang tidak mempunyai nilai rawatan). Semua pesakit dalam kajian-kajian tersebut mempunyai sakit pinggang sebagai aduan utama dan sesetengah pesakit juga mengalami gejala kemurungan.

Kami melihat keputusan-keputusan beberapa kajian individu dan menggabungkan keputusan beberapa kajian dalam analisis yang lebih besar.

Ulasan ini tidak menemui bukti yang meyakinkan bahawa antidepresan mengurangkan sakit pinggang atau kemurungan dengan lebih berkesan berbanding plasebo. Antidepresan tidak menghasilkan sebarang manfaat jelas dalam rawatan sakit pinggang.

Antidepresan telah menyebabkan kesan sampingan, walau bagaimanapun, maklumat tentang ubat ini tidak diberi dalam kajian-kajaan tersebut.

Pesakit dengan kemurungan yang ketara tidak harus mengelakkan antidepresan berdasarkan ulasan ini, kerana antidepresan terus memainkan peranan penting dalam rawatan kemurungan klinikal. Terdapat juga bukti antidepresan dapat membantu pesakit dengan sakit speifik jenis lain.

Ulasan ini memberi amaran bahawa kajian sedia ada tidak memberi bukti yang cukup mengenai antidepresan untuk sakit pinggang. Kajian yang lebih besar dan lebih canggih adalah perlu untuk mengesahkan kesimpulan ulasan ini. Buat masa ini, antidepresan perlu dianggap sebagai rawatan yang tak terbukti untuk sakit pinggang yang tidak spesifik.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi (Chris_ZY@live.com)

Tools
Information