Adakah strategi mobiliti meningkatkan dan memulihkan mobiliti selepas pembedahan patah tulang pinggul dalam kalangan orang dewasa?

Mesej utama

Mobiliti ialah keupayaan untuk bergerak, termasuklah berdiri dan berjalan. Strategi mobiliti ialah rawatan yang bertujuan membantu pesakit untuk bergerak dengan lebih baik.

Rawatan mobiliti yang dijalankan di hospital mungkin secara sederhana meningkatkan mobiliti pesakit empat bulan selepas tulang pinggul mereka patah. Kesan rawatan mobiliti terhadap hasil utama lain adalah tidak jelas. Rawatan mobiliti yang dijalani setelah didiscaj dari hospital selepas patah tulang pinggul meningkatkan mobiliti, berkemungkinan meningkatkan kelajuan berjalan, meningkatkan fungsi sedikit dan mengurangkan kejatuhan.

Kajian pada masa akan datang harus menumpukan pada jenis rawatan yang paling berkesan dan sama ada rawatan itu berkesan di negara yang lebih miskin.

Apa yang boleh dilakukan oleh pesakit untuk meningkatkan mobiliti mereka selepas patah tulang pinggul?

Matlamat utama penjagaan selepas pembedahan patah tulang pinggul adalah untuk membolehkan pesakit kembali bediri,bergerak dan berjalan semula dengan selamat. Pada mulanya, pesakit diminta untuk berehat di katil dan menghadkan aktiviti yang menanggung berat badan. Kemudian, pelbagai strategi untuk meningkatkan mobiliti, termasuklah latihan berjalan semula, program senaman dan rangsangan elektrik digunakan semasa tinggal di hospital dan selalunya juga selepas didiscaj dari hospital.

Apa yang pengulas ingin tahu?

Pengulas ingin tahu tentang:

- sama ada rawatan mobiliti yang diberikan di hospital atau setelah didiscaj daripada hospital membantu pesakit untuk bergerak dengan lebih baik;

- apakah jenis rawatan yang membantu pesakit bergerak dengan baik setelah patah tulang pinggul.

Pengulas juga ingin mengetahui sekiranya rawatan mobiliti boleh mengakibatkan kesan-kesan yang tidak diingini.

Apa yang telah pengulas lakukan?

Pengulas mencari kajian yang membandingkan:

- latihan mobiliti dengan latihan tanpa mobiliti; atau

- kaedah dan masa rawatan mobiliti yang berbeza.

Pengulas membandingkan dan merumuskan keputusan kajian, dan menilai keyakinan pengulas terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang telah pengulas temui?

Pengulas menemui 40 kajian melibatkan 4059 pesakit yang mengalami patah tulang pinggul, kebanyakannya berusia lebih daripada 65 tahun, dengan purata usia 80 tahun. Kajian paling kecil melibatkan 26 orang dan yang paling besar melibatkan 336 orang. Kajian-kajian tersebut telah dilaksanakan di 17 buah negara. Kebanyakan kajian memiliki kaedah yang lemah. Dua puluh tujuh kajian menerima pembiayaan, kebanyakannya daripada kerajaan dan organisasi pembiayaan penyelidikan.

Keputusan utama

Lapan belas kajian menilai strategi mobiliti yang bermula di hospital dalam masa seminggu selepas pembedahan patah tulang pinggul. Rawatan mobiliti yang dilaksanakan di hospital mungkin secara sederhana meningkatkan mobiliti pesakit empat bulan selepas patah tulang dan berkemungkinan meningkatkan kelajuan mereka berjalan sedikit tetapi ke tahap yang bermakna. Rawatan mobiliti mungkin tidak memberi sebarang kesan atau hanya sedikit kesan terhadap kemasukan semula ke hospital, kembali hidup di rumah, atau kematian. Pengulasi tidak pasti sekiranya rawatan mobiliti mempengaruhi fungsi fizikal (kebolehan untuk bergerak dan berfungsi dalam persekitaran masing-masing) atau kesejahteraan seseorang.

Dua puluh dua kajian telah menilai strategi mobiliti jangka panjang yang bermula selepas didiscaj dari hospital dan dijalankan di rumah, kampung persaraan dan klinik pesakit luar. Dalam situasi ini, rawatan mobiliti meningkatkan mobiliti sedikit tetapi tahp yang bermakna, benar-benar meningkatkan kelajuan berjalan, dan menyebabkan sedikit peningkatan tetapi tidak bermakna dari segi fungsi. Berbanding dengan tanpa rawatan, lawatan sosial atau penjagaan biasa, rawatan mobiliti mungkin meningkatkan sedikit kesejahteraan pesakit tetapi tidak ke tahap yang bermakna. Rawatan mobiliti mungkin tidak memberi sebarang kesan atau hanya sedikit kesan terhadap kemasukan semula ke hospital atau kematian.

Jenis rawatan yang nampaknya berkesan dalam meningkatkan mobiliti pesakit adalah senaman sebagai tambahankepada fisioterapi standard. Kedua-dua keadaan di hospital dan selepas didiscaj dari hospital, senaman yang membantu menyasarkan keseimbangan, berjalan dan tugas fungsi. Selepas didiscaj dari hospital, latihan meningkatkan kekuatan atau ketahanan juga boleh meningkatkan mobiliti. Kesan rangsangan elektrik adalah tidak jelas.

Secara keseluruhan, ulasan ini mendapati bahawa kedua-dua keadaan di hospital dan selepas discaj, terdapat bukti yang memadai untuk menyatakan bahawa rawatan yang menyasarkan mobiliti mungkin lebih baik daripada tanpa rawatan tambahan dalam membantu pesakit untuk kembali berdiri, bergerak dan berjalan semula dengan selamat setelah patah tulang pinggul.

Apakah batasan bukti tersebut?

Pengulas mempunyai keyakinan yang sedikit hingga sederhana terhadap keputusan kajian di hospital. Keyakinan pengulas berkurangan kerana: sesetengah kajian tidak melaporkan kesemua keputusan mereka; mereka menggunakan cara berbeza untuk melaksanakan rawatan; dan kebanyakan kajian adalah kecil.

Pengulas lebih yakin tentang keputusan daripada kajian yang dijalankan selepas discaj dari hospital, termasuklah penemuan bahawa latihan mobiliti meningkatkan pergerakan dan kebolehan berjalan. Pengulas kurang yakin dengan keputusan untuk kesan-kesan tidak diingini, disebabkan jumlah kesan-kesan tidak diingini yang dilaporkan adalah rendah.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemas kini ulasan terdahulu. Bukti adalah terkini setakat Mac 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Hull). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information