Mesej utama
• Imunoglobulin intravena (IVIg) membawa kepada penambahbaikan dalam kecacatan selama sekurang-kurangnya dua hingga enam minggu berbanding dengan rawatan tiruan.
• Dalam tempoh masa ini, IVIg mungkin sama berkesan dengan pertukaran plasma dan steroid.
• Satu kajian menunjukkan bahawa kesan IVIg berterusan selama enam bulan, tetapi lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengetahui sama ada manfaat berterusan lebih lama dan apakah kesan sampingan jangka panjang.
Apakah keradangan polyradiculoneuropathy demyelinasi kronik?
Keradangan polyradiculoneuropathy demyelinasi kronik (CIDP) adalah penyakit di mana saraf menjadi radang dan ini membawa kepada kelumpuhan. Penyebab yang mungkin adalah badan menyerang sarafnya sendiri.
Apakah rawatan yang mungkin untuk keradangan polyradiculoneuropathy demyelinasi kronik?
CIDP biasanya memerlukan rawatan jangka panjang untuk mencegah kecacatan lanjutan. Terdapat banyak perdebatan mengenai rawatan terbaik. Satu pilihan ialah ubat yang dipanggil immunoglobulin, yang merupakan produk yang diperbuat daripada antibodi yang ditapis daripada darah penderma manusia dan yang diberikan melalui titisan ke dalam vena. Ubat steroid dan pertukaran plasma (prosedur untuk mengeluarkan dan menggantikan komponen plasma darah) diketahui berkesan.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada imunoglobulin lebih baik daripada plasebo (rawatan tiruan), pertukaran plasma atau steroid untuk penambahbaikan kecacatan pada orang dengan CIDP. Kami juga ingin mengetahui sama ada imunoglobulin mempunyai sebarang peristiwa yang tidak diingini dalam populasi ini.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan imunoglobulin dengan plasebo, pertukaran plasma atau steroid pada orang dengan CIDP. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan-keputusan kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap mutu bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian dan saiz kajian.
Apakah yang telah kami temui?
Sembilan kajian yang melibatkan 372 orang dengan CIDP layak untuk ulasan ini. Lima kajian membandingkan imunoglobulin dengan plasebo, satu membandingkan imunoglobulin dengan pertukaran plasma, dua membandingkan imunoglobulin dengan steroid yang dipanggil prednisolone, dan satu membandingkan imunoglobulin dengan steroid yang dipanggil methylprednisolone.
Keputusan utama
Bukti daripada lima kajian menunjukkan bahawa imunoglobulin dibandingkan plasebo meningkatkan bilangan orang yang telah bertambah baik dari segi skor kecacatan dengan ketara selepas dua hingga enam minggu rawatan. Bagi setiap empat orang yang menerima rawatan, seorang mengalami penambahbaikan yang ketara . Berdasarkan bukti daripada satu kajian, kita boleh membuat kesimpulan bahawa skor kecacatan mungkin lebih baik pada orang yang dirawat dengan imunoglobulin dibandingkan dengan orang yang menerima plasebo selepas 24 minggu rawatan. Risiko kesan imunoglobulin tidak diingini yang serius mungkin serupa dengan plasebo.
Keputusan daripada dua kajian yang lain menunjukkan bahawa imunoglobulin mungkin tidak lebih baik daripada steroid (prednisolone atau methylprednisolone) untuk mempernambahbaikan kecacatan. Terdapat kemungkinan sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko kesan sampingan yang teruk antara imunoglobulin dan prednisolone, dan mungkin juga terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko kesan sampingan yang teruk antara imunoglobulin dan methylprednisolone. Dengan semua rawatan, kurang daripada satu daripada 10 orang mengalami kesan sampingan teruk.
Apakah batasan bukti tersebut?
Kami yakin imunoglobulin dibandingkan plasebo kemungkinan menambahbaikan skor kecacatan selepas dua hingga enam minggu rawatan. Walau bagaimanapun, kami mempunyai keyakinan sederhana dalam kebanyakan keputusan yang lain , kerana analisis statistik mencadangkan bahawa kesan imunoglobulin boleh memberi manfaat atau memudaratkan.
Setiap kajian mentakrifkan penambahbaikan dengan caranya sendiri, dan kajian menggunakan skala pengukuran berbeza , jadi sukar untuk mengaitkannya dengan perubahan dalam keadaan klinikal orang dengan CIDP. Penyelidikan lanjutan diperlukan untuk menilai faedah jangka panjang dan kemudaratan imunoglobulin dibandingkan dengan rawatan yang lain .
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini merupakan suatu pengemaskinian ulang untuk ulasan yang pertama kali diterbitkan pada tahun 2002 dan akhir sekali dikemaskini pada tahun 2013. Carian terkini untuk kajian adalah pada Mac 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).