Rehabilitasi berasaskan senaman untuk penyakit jantung koronari

Latar belakang

Penyakit jantung koronari (CHD) ialah satu punca kematian global yang paling lazim. Walau bagaimanapun, dengan penurunan kadar kematian CHD, peningkatan bilangan orang yang hidup dengan CHD dan berkemungkinan memerlukan sokongan untuk menguruskan gejala (seperti angina, sesak nafas semasa aktiviti fizikal, serta keletihan) dan mengurangkan kemungkinan masalah akan datang, seperti serangan jantung. Rehabilitasi jantung berasaskan senaman (latihan senaman sahaja atau digabungkan dengan intervensi psikologi atau pendidikan) bertujuan untuk meningkatkan kesihatan dan hasil terhadap orang dengan CHD.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari penulisan saintifik untuk kajian rawak terkawal (eksperimen yang membahagikan peserta secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang mengkaji keberkesanan rawatan berasaskan senaman berbanding dengan tanpa senaman dalam kalangan orang pelbagai usia yang menghidap CHD. Bukti adalah terkini sehingga September 2020.

Keputusan utama
Kemas kini terbaru ini mengenal pasti 22 kajian tambahan (7795 peserta). Kami memasukkan sejumlah 85 kajian yang mengkaji 23,430 orang dengan CHD, kebanyakannya mangsa serangan jantung dan mereka yang pernah menjalani pembedahan pintasan jantung atau angioplasti (satu prosedur yang melebarkan arteri atau vena yang menyempit atau terhalang). Tiga puluh lapan (45%) daripada kajian melibatkan intervensi senaman sahaja dan 47 (55%) melibatkan intervensi dengan senaman serta komponen lain. Jenis senaman yang paling kerap disertakan adalah berbasikal pegun, berjalan kaki atau latihan litar. Dua puluh satu (25%) daripada intervensi tersebut dilakukan di rumah peserta.

Penemuan kemas kini ini konsisten dengan ulasan Cochrane versi sebelumnya (2016), dan menunjukkan faedah penting rehabilitasi jantung berasaskan senaman iaitu pengurangan risiko kematian akibat sebarang sebab, serangan jantung, dan kemasukan ke hospital, dan peningkatan dalam kualiti hidup yang berkaitan kesihatan, berbanding dengan tidak melakukan senaman. Sekumpulan kecil bukti ekonomi telah dikenalpasti, menunjukkan rehabilitasi jantung berasaskan senaman adalah kos efektif. Banyak kajian yang dimasukkan dalam kemas kini ini dijalankan di negara berpendapatan rendah dan sederhana, yang meningkatkan generalisasi keputusan kami kepada tetapan ini di mana tahap CHD adalah tinggi dan makin meningkat.

Kualiti bukti
Walaupun pelaporan kaedah bertambah baik dalam kajian terkini, tetapi kekurangan pelaporan aspek utama metodologi menyukarkan untuk menilai kualiti metodologi keseluruhan serta risiko kemungkinan berat sebelah pada bukti.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information