Penyusuan nasogastrik berterusan berbanding penyusuan bolus berselang untuk bayi pramatang kurang daripada 1500 gram

Soalan ulasan

Adakah penyusuan berterusan melalui tiub yang dimasukkan ke dalam perut melalui hidung atau mulut lebih baik daripada penyusuan setiap dua hingga tiga jam melalui tiub, pada bayi dengan berat lahir pramatang?

Latar belakang

Bayi pramatang yang lahir dengan berat kurang dari 1500 gram tidak dapat menyelaraskan menghisap, menelan, dan bernafas. Pemberian makan ke dalam perut (pemberian secara enteral) membantu perkembangan dan pertumbuhan saluran gastrousus. Oleh itu, selain memberi makan melalui tiub ke dalam vena (parenteral), bayi pramatang boleh diberi susu melalui tiub yang diletakkan di atas hidung dan masuk ke dalam perut (pemberian secara nasogastrik) atau melalui mulut mereka dan masuk ke perut (pemberian secara orogastrik) . Biasanya, sejumlah susu diberikan selama 10 hingga 20 minit setiap dua hingga tiga jam (pemberian makan secara bolus gavage berselang). Beberapa doktor lebih suka memberi makan bayi pramatang secara berterusan. Setiap kaedah pemberian ada kesan berpotensi yang bermanfaat tetapi mungkin juga ada kesan berbahaya.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan sembilan kajian yang melibatkan 919 bayi. Satu lagi kajian sedang menunggu pengelasan. Tujuh dari sembilan kajian yang dimasukkan melaporkan data daripada bayi dengan berat maksimum antara 1000 gram dan 1400 gram. Dua daripada sembilan kajian itu melibatkan bayi seberat hingga 1500 gram. Carian adalah terkini hingga 17 Julai 2020.

Keputusan utama

Bayi yang mendapat makanan berterusan boleh mencapai makanan enteral penuh sedikit lambat daripada bayi yang diberi makan secara berselang. Makanan enteral penuh didefinisikan sebagai bayi yang mengambil makanan susu manusia atau susu formula yang ditentukan oleh laluan yang diperlukan. Ini mendorong perkembangan sistem gastrointestinal, mengurangkan risiko jangkitan dari kateter intravena yang digunakan untuk memberikan nutrisi parenteral, dan dapat mengurangkan tempoh tinggal di hospital.

Adalah tidak dapat dipastikan sama ada terdapat perbezaan antara pemberian makanan secara berterusan dan berselang dari segi jumlah hari untuk mendapatkan kembali berat lahir, hari dengan gangguan makan, dan kadar kenaikan berat badan.

Memberi makan secara berterusan boleh menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar kenaikan panjang atau lilitan kepala dibandingkan dengan memberi makan secara berselang.

Adalah tidak dapat dipastikan jika pemberian makanan berterusan mempunyai sebarang kesan terhadap risiko enterokolitis nekrotik (penyakit usus yang biasa dan serius dalam kalangan bayi pramatang) berbanding dengan memberi makan secara berselang.

Kepastian bukti

Kepastian bukti adalah rendah hingga sangat rendah kerana bilangan bayi yang sedikit dalam kajian dan kerana kajian dilakukan dengan cara yang mungkin telah menyebabkan kesalahan dalam keputusannya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek, Pelajar Pascasiswazah (IMMB, Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information