Intervensi untuk merawat leukoplakia oral bagi mencegah kanser oral

Soalan sorotan

Penghidap leukoplakia berisiko lebih tinggi untuk kanser oral berbanding orang yang mempunyai mukosa oral yang normal. Sorotan yang dihasilkan melaluiKumpulan Kesihatan Oral Cochraneini bertujuan menilai sama ada penghidap leukoplakia boleh mendapat manfaat daripada rawatan surgikal, perubatan atau rawatan komplemen secara setempat atau sistemik.Secara khusus, kami menjalankan sorotan ini untuk mengenalpasti rawatan yang boleh mencegah kejadian kanser oral dalam kalangan orang yang ada leukoplakia, jika ada.Sorotan ini mengemaskini sorotan terdahulu terbitan 2006.

Latarbelakang

Leukoplakia oral adalah tompok putih yang terbentuk pada lapisan dalam mulut yang tidak dapat dihilangkan. Seringkali ia tidak sakit dan mungkin tidak disedari selama beberapa tahun. Penghidap leukoplakia lebih kerap mendapat kanser oral berbanding orang yang tiada leukoplakia. Pencegahan ini adalah kritikal memandangkan kadar kemandirian kanser oral melebihi lima tahun selepas diagnosis adalah rendah.Ubat-ubatan, surgeri dan pelbagai terapi telah dijalankan untuk merawat leukoplakia oral.

Objektif

Sorotan ini bertujuan menilai sama ada rawatan untuk leukoplakia oral berkesan bagi mencegah kanser oral, selamat dan boleh diterima pesakit.

Ciri kajian

Bukti sorotan ini adalah terkini sehingga Mei 2016. Kami mendapati 14 kajian rawak terkawal (RCT) perubatan atau rawatan komplemen melibatkan sejumlah 909 peserta. Rawatan termasuklah ekstrak herba, ubat anti-keradangan, vitamin A, suplemen beta karotina dan lain-lain lagi. Tiada kajian rawak terkawal yang membandingkan rawatan surgikal dengan plasebo atau tanpa rawatan.

Keputusan utama

Perkembangan kanser diukur dalam kajian yang melibatkan tiga rawatan: vitamin A sistemik, beta karotina sistemik dan bleomisin topikal. Rawatan-rawatan tersebut tidak menunjukkan keberkesanan dalam pencegahan perkembangan kanser apabila dinilai sehingga dua tahun bagi vitamin A dan beta karotina, dan sehingga tujuh tahun bagi bleomisin.

Beberapa kajian individu vitamin A dan beta karotina mengusulkan rawatan tersebut mungkin berkesan untuk penyembuhan lesi oral.Namun, beberapa kajian mendapati kadar relaps yang tinggi dalam kalangan peserta yang mana lesi awal telah sembuh dengan rawatan.

Kebanyakan rawatan menyebabkan pelbagai tahap keterukan akibat kesan sampingan dalam sebahagian besar peserta.

Ia mungkin menunjukkan intervensi diterima baik oleh peserta kerana kadar keciciran adalah sama antara kelompok rawatan dan kelompok kawalan.

Kualiti bukti

Bukti sedia ada sangat terhad.Kebanyakan intervensi dinilai oleh satu kajian kecil. Kebanyakan kajian mempunyai masalah dalam cara perlaksanaan dan menimbulkan keraguan pada keputusan.Penilaian kami tentang kualiti bukti bagi hasil perkembangan kanser adalah rendah.

Kesimpulan penulis

Lebih banyak kajian jangka panjang yang bermutu diperlukan.Sebagaimana kajian lanjutan terhadap rawatan ubat dan rawatan alternatif seperti vitamin, kajian yang menilai keberkesanan dan keselamatan surgeri dan pemberhentian faktor risiko merokok juga diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information