Pembedahan untuk aneurisme kecil aorta abdomen yang tidak menyebabkan gejala

Latar belakang

Aneurisme adalah penggelembungan arteri (saluran darah), yang, dalam kes aneurisme aorta abdomen (AAA), berlaku dalam arteri utama di abdomen (aorta). AAA yang pecah menyebabkan kematian melainkan pembedahan pembaikian yang pantas, yang sukar dicapai. Pembedahan disyorkan untuk orang dengan aneurisme berdiameter lebih besar dari 5.5 cm atau mempunyai kesakitan yang berkaitan, untuk melegakan gejala dan mengurangkan risiko pecah dan kematian. Walau bagaimanapun, terdapat risiko berkaitan pembedahan. Pembedahan pembaikian melibatkan melapik semula aorta dengan bahan sintetik yang kuat, sama ada dengan pembedahan terbuka atau pembaikian endovaskular (prosedur lubang kunci yang invasif secara minimum). AAA asimptomatik (tanpa gejala) yang kecil berisiko rendah untuk pecah dan dipantau melalui pengimejan berkala supaya ia dapat dibaiki dengan pembedahan jika ia membesar.

Keputusan utama

Kami menemui empat kajian yang dijalankan dengan baik yang merawakkan 3314 peserta dengan AAA asimptomatik kecil (diameter 4.0 cm hingga 5.5 cm) kepada pembaikian awal atau ultrasound rutin berkala untuk memeriksa pembesaran aneurisme (pengawasan) (carian terkini sehingga 10 Julai 2019). Dalam kumpulan pengawasan, aneurisme dibaiki jika ia membesar, mencapai diameter 5.5 cm, atau menjadi bergejala. Kajian menunjukkan manfaat awal kelangsungan hidup dalam kumpulan pengawasan melalui jumlah kematian dalam tempoh 30 hari dari pembedahan (kematian pembedahan). Kajian tidak menemui perbezaan dalam kelangsungan hidup jangka panjang antara pembaikian awal (terbuka atau endovaskular) dan pengawasan susulan selama tiga hingga lapan tahun. Selepas tiga tahun, kira-kira 31% peserta yang dirawakkan kepada pengawasan akhirnya mempunyai aneurisme yang dibaiki, meningkat kepada 75% selepas 12 tahun.

Dua kajian melaporkan kos. Bagi 18 bulan pertama, kos adalah lebih rendah dengan pengawasan daripada pembaikian terbuka atau endovaskular. Selepas empat tahun, satu kajian mendapati jumlah kos perubatan yang serupa untuk kumpulan pembaikian endovaskular awal dan pengawasan. Selepas 12 tahun, kajian yang lain mendapati kos hospital yang lebih rendah dengan pengawasan daripada dengan pembaikian terbuka.

Empat kajian tersebut menggunakan cara yang berbeza untuk mengukur kualiti hidup dan keputusan adalah bercanggah. Peratusan aneurisme pecah dalam kumpulan pengawasan kelihatan lebih tinggi dalam kajian yang menggunakan pembaikian terbuka tetapi ini tidak membataskan peserta kepada mereka yang mempunyai anatomi aorta yang sesuai untuk pembaikian endovaskular. Kebanyakan kepecahan berlaku dalam orang yang diameter aneurisme sebelumnya melebihi ambang untuk pembaikian pembedahan.

Kebolehpercayaan bukti

Kaedah dalam kajian-kajian yang menggunakan pembaikian terbuka adalah baik dan kebolehpercayaan bukti adalah tinggi ke sederhana untuk dua kajian yang membandingkan pembaikian terbuka dengan pengawasan. Bagi dua kajian yang membandingkan pembaikian endovaskular dengan pengawasan, risiko bias adalah tidak jelas ke tinggi dan kebolehpercayaan bukti adalah rendah. Empat kajian tersebut menunjukkan tiada kelebihan keseluruhan dengan pembedahan awal untuk AAA kecil (4.0 cm hingga 5.5 cm). Dua kajian yang membandingkan pembedahan awal pembaikian terbuka dengan pengawasan mendapati keputusan ini adalah benar tanpa mengira usia pesakit atau saiz aneurisme (diameter di antara 4.0 cm hingga 5.5 cm). Selanjutnya, dua kajian yang menumpukan kepada pembaikian endovaskular, juga mendapati tiada manfaat berbanding pengawasan. Sama ada pembaikian terbuka awal atau pembaikian endovaskular awal untuk AAA kecil adalah tidak disokong oleh bukti semasa.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information