Rejimen pencegahan dan rawatan untuk hakisan kornea berulang (kerosakan permukaan epitelium kornea)

Apakah matlamat ulasan ini?
Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui rawatan yang paling berkesan untuk hakisan kornea berulang dan sama ada ia boleh dicegah. Para penyelidik Cochrane mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan menemui 10 kajian.

Mesej utama
Ulasan menunjukkan terdapat kekurangan bukti berkualiti untuk memandu keputusan rawatan bagi hakisan kornea berulang. Ini adalah jurang bukti.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?
Kornea adalah bahagian depan mata yang lutsinar. Kadangkala lapisan paling luar sel kornea (epitelium) menjadi rosak dan ini boleh menyebabkan episod sakit mata atau ketidakselesaan berulang, sensitif terhadap cahaya, mata berair dan penglihatan kabur. Ini dikenali sebagai hakisan kornea berulang (RCE). Gejala ini boleh melumpuhkan, dan RCE boleh membuat mata rentan kepada jangkitan. RCE boleh terjadi selepas kecederaan mata tetapi juga akibat keadaan mata, seperti distrofi kornea.

Pelbagai rawatan dicadangkan dan diguna untuk RCE. Titisan mata melembapkan mata (pelincir) atau mungkin mengandungi antibiotik atau steroid. Kanta sentuh khas, yang dikenali sebagai kanta lekap terapeutik atau kanta lekap pembalut, boleh digunakan. Bahagian atau lapisan kornea dapat dikeluarkan secara fizikal, yang dikenali sebagai debridmen apabila epitelium longgar dikeluarkan, atau keratektomi superfisial apabila epitelium dan bahan lain dikeluarkan. Ini boleh dilakukan secara manual atau menggunakan laser 'excimer' (fototerapeutik). Kadangkala kornea 'digilap' selepas menggunakan alat yang disebut ‘diamond burr’. Bahan ini juga boleh dikeluarkan menggunakan alkohol (delaminasi alkohol). Lubang tusukan kecil, yang disebut tusukan stroma anterior, mungkin dibuat di kornea dengan tujuan menstabilkan epitelium. Ini juga boleh dilakukan dengan laser.

Apakah keputusan utama ulasan ini?
Penyelidik Cochrane menemui 10 kajian yang relevan. Tujuh kajian dari Eropah (Jerman, Sweden dan UK), dua dari Asia Timur (Hong Kong dan Jepun) dan satu dari Australia.

Dua kajian membandingkan kanta lekap dengan pelincir; kajian tunggal melihat keratektomi fototerapeutik berbanding delaminasi alkohol; keratektomi superfisial ‘diamond burr’ (selepas debridmen epitelium) dibandingkan dengan debridmen epitelium; dua teknik penyingkiran laser yang berbeza (ablasi laser excimer transepitelium berbanding subepitel); kanta lekap berbanding dengan tusukan stromal anterior; debridemen epitel dibandingkan dengan tusukan stroma anterior; keratektomi fototerapeutik (selepas debridmen epitelium) berbanding dengan debridmen epitelium sahaja; dan tetrasiklin oral berbanding terapi prednisolon topikal dan terapi standard.

Tiga kajian (termasuk dua kajian rawatan di atas) membandingkan pelbagai cara mencegah RCE (profilaksis). Dua kajian membandingkan pelinciran topikal dengan tanpa pelinciran topikal; dan satu kajian membandingkan ubat sapu antibiotik dengan tanpa ubat antibiotik.

Secara umum kajian-kajian yang disertakan dalam ulasan ini terlalu kecil untuk memberi keputusan yang konklusif. Lebih banyak kajian rawak terkawal berkualiti tinggi diperlukan sebagai panduan pengurusan hakisan kornea berulang.

Adakah ulasan ini mutakhir?
Penyelidik Cochrane mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga Disember 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Amirul Mohd Sallehuddin Mannan (Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information