Ubat-ubatan untuk mencegah jangkitan mata pada bayi yang baru lahir

Apakah matlamat ulasan ini?
Matlamat ulasan Cochrane ini adalah untuk mengenal pasti sama ada sebarang ubat adalah lebih baik daripada plasebo atau tiada tindakan pencegahan dalam mencegah oftalmia neonatorum. Penulis kajian ulasan Cochrane telah mengumpul dan menganalisa semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini dan telah menjumpai 30 kajian.

Mesej utama
Tidak ada data sama ada profilaksis untuk oftlamia neonatorum akan mencegah kesan-kesan serius seperti kebutaan atau masalah penglihatan. Bukti kepastian sederhana mencadangkan bahawa penggunaan profilaksis mungkin membawa kepada pengurangan dalam kejadian sebarang konjunktivitis oleh mana-mana sebab dalam bayi baru lahir tetapi kepastian bukti mengenai kesan ke atas konjunktivitis gonokokus atau klamidia adalah rendah hingga. sangat rendah. Perbandingan intervensi secara berindividu tidak menunjukkan mana-mana intervensi adalah sentiasa lebih baik, tetapi data adalah terhad.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Oftalmia neonatorum, juga dikenali sebagai konjunktivitis neonatal, adalah jangkitan pada permukaan mata yang mempengaruhi bayi yang baru lahir pada bulan pertama dalam kehidupannya. Ia biasanya disebabkan oleh jangkitan (bakteria atau virus) yang dijangkiti semasa proses kelahiran. Jika dibiarkan tidak dirawat, ia boleh menyebabkan buta. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan rawatan yang berikut untuk mencegah oftalmia neonatorum:

• salap mata tetracycline hydrochloride 1%.
• salap mata erythromycin 0.5%.
• larutan povidone-iodine 2.5% (berasaskan air);
• larutan 1% perak nitrat;
• salap mata chloramphenicol 1%.

Penulis kajian Ulasan Cochrane mempertimbangkan rawatan ini dan yang lain untuk mencegah kejadian konjunktivitis dalam bayi baru lahir. Mereka menilai dua jenis konjunktivitis utama secara berasingan - konjunktivitis gonokokus (disebabkan oleh Neisseria gonorrhoeae ) dan konjunktivitis klamidia (disebabkan oleh Chlamydia trachomatis ) - serta konjunktivitis yang disebabkan oleh mana-mana bakteria (termasuk Neisseria gonorrhoeae dan Chlamydia trachomatis ) atau konjunktivitis dengan sebab yang tidak diketahui.

Apakah keputusan utama ulasan ini?
Para penulis ulasan Cochrane telah mengenal pasti 30 kajian dengan jumlah 79,198 bayi yang baru lahir. Lapan belas kajian telah dijalankan dalam kawasan berpendapatan tinggi (AS, Eropah, Israel, Kanada) dan 12 telah dijalankan dalam kawasan berpendapatan sederhana (Afrika, Iran, China, Indonesia, Mexico). Ubat-ubatan pencegahan utama yang telah dinilai dalam kajian-kajian yang dirangkumkan adalah: tetracycline 1%, erythromycin 0.5%, povidone-iodine 2.5%, dan nitrat perak 1%.

Bayi yang baru lahir yang diberi ubat pencegahan lebih cenderung mempunyai peluang lebih rendah untuk mengalami konjunktivitis dalam masa satu bulan selepas kelahiran berbanding dengan bayi yang baru lahir dan tidak diberi ubat pencegahan (bukti berkepastian sederhana). Bukti untuk sebab khusus konjunktivitis (gonokokus, klamidia) adalah kurang pasti kerana mereka jarang berlaku dalam kajian-kajian yang dirangkumkan. Tiada kajian yang mengumpulkan data mengenai kebutaan atau kesan-kesan penglihatan yang buruk.

Sejauh mana ulasan terkini?
Penulis ulasan Cochrane telah mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga 4 Oktober 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nicole Fong Wan June. Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information