Bolehkah darah yang keluar semasa pembedahan dikumpulkan, dan dikembalikan semula kepada pesakit tersebut, bagi mengurangkan keperluan menggunakan darah yang didermakan?

Mesej utama

Ulasan ini menilai mana-mana kajian yang melihat kepada pembedahan elektif, bukan kecemasan (bukan trauma) yang membandingkan penggunaan penyelamatan sel dengan tiada penyelamatan sel. Disebabkan variasi dalam jenis pembedahan, ulasan ini adalah sangat umum. Kami telah membahagikan bukti mengikut jenis pembedahan, untuk membantu para doktor dan pesakit mencari bukti yang berkaitan dengan mereka.

Tidak terdapat banyak bukti untuk pembedahan bagi kanser, pembedahan jantung tanpa mesin pintasan, dan pembedahan vaskular (pada saluran darah utama).

Kebanyakan bukti menyarankan bahawa mungkin terdapat pengurangan dalam keperluan penggunaan darah yang didermakan apabila penyelamatan sel digunakan. Terdapat bukti yang tidak pasti bahawa kaedah di atas menyebabkan tiada komplikasi tambahan berbanding penjagaan biasa (terdapat tiada perbezaan antara kumpulan penyelamatan sel dan kumpulan tiada penyelamatan sel), menyarankan bahawa ia mungkin bermanfaat secara keseluruhan. Tetapi lebih banyak penyelidikan yang memfokuskan kepada perkara lain yang mempengaruhi bukti adalah diperlukan, sebelum kami boleh membuat sebarang kesimpulan yang kukuh.

Apakah 'penyelamatan sel' dan mengapa ia digunakan?

Sesetengah orang yang menjalani pembedahan memerlukan pemindahan darah untuk mengimbangi kehilangan darah semasa prosedur. 'Transfusi darah' ialah prosedur perubatan yang rutin di mana seseorang menerima darah melalui tiub nipis yang dimasukkan ke dalam vena, biasanya di lengan. Selalunya darah yang digunakan untuk transfusi didermakan oleh sukarelawan. Pemindahan darah boleh menyelamatkan nyawa, tetapi juga boleh meningkatkan risiko komplikasi daripada pembedahan dan harus dielakkan seboleh mungkin. Hospital telah mencari pelbagai cara untuk mengurangkan keperluan darah penderma dengan (1) mengurangkan jumlah darah yang hilang semasa pembedahan, dan (2) mengembalikan darah yang hilang kepada pesakit menggunakan 'penyelamatan sel'.

'Penyelamatan sel' atau 'autotransfusi' melibatkan pengumpulan darah pesakit dari kawasan pembedahan dan boleh dipindahkan semula kepada pesakit tersebut semasa atau selepas pembedahan, mengikut keperluan. Darah ini yang kebiasaannya akan dibuang.

Apa yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada (1) penggunaan penyelamatan sel mengurangkan keperluan pemindahan darah yang didermakan, dan (2) jika pesakit masih memerlukan pemindahan darah, adakah ia mengurangkan jumlah penggunaan darah yang didermakan tersebut. Kami juga ingin menyemak sekiranya orang yang menjalani penyelamatan sel mempunyai lebih banyak komplikasi berbanding orang yang tidak menjalaninya.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan penggunaan penyelamatan sel berbanding dengan tiada penyelamatan sel (penjagaan biasa) di kalangan orang dewasa yang menjalani pembedahan elektif: iaitu, pembedahan yang telah dirancang lebih awal, bukan kecemasan disebabkan trauma. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami dapati?

Kami mendapati 106 kajian yang melibatkan 14,528 peserta dari 24 negara, diterbitkan antara 1978 dan 2021. Kajian tertumpu kepada pelbagai jenis pembedahan.

Keputusan utama

Kanser: 2 kajian (79 peserta)

Bukti tidak jelas bermakna kami tidak pasti tentang kesan penyelamatan sel.

Pembedahan vaskular (salur darah utama): 6 kajian (384 peserta)

Bukti tidak jelas bermakna kami tidak pasti tentang kesan penyelamatan sel.

Kardiovaskular (pembedahan jantung tanpa pintasan): 6 kajian (372 peserta)

Terdapat kemungkinan pengurangan dalam risiko memerlukan pemindahan darah yang didermakan disebabkan oleh penyelamatan sel. Untuk kesan lain, kami tidak pasti akan impak penyelamatan sel.

Kardiovaskular (pembedahan jantung dengan pintasan): 29 kajian (2936 peserta)

Terdapat kemungkinan pengurangan dalam risiko memerlukan pemindahan darah yang didermakan disebabkan oleh penyelamatan sel. Untuk kesan lain, kami tidak pasti akan impak penyelamatan sel.

Obstetrik (Pembedahan Caesarean): 1 kajian (1356 peserta)

Bukti yang tidak jelas menyarankan bahawa mungkin terdapat tiada perbezaan dalam risiko memerlukan pemindahan darah yang didermakan, di samping bukti kukuh yang menyarankan bahawa terdapat tiada perbezaan dalam jumlah purata darah yang didermakan yang diperlukan oleh pesakit, disebabkan oleh penyelamatan sel.

Pembedahan penggantian sendi pinggul sahaja: 17 kajian (2055 peserta)

Bukti tidak jelas bermakna kami tidak pasti tentang kesan penyelamatan sel.

Pembedahan penggantian sendi lutut sahaja: 26 kajian (2568 peserta)

Bukti tidak jelas bermakna kami tidak pasti tentang kesan penyelamatan sel.

Pembedahan tulang belakang sahaja: 6 kajian (404 peserta)

Terdapat kemungkinan pengurangan dalam risiko memerlukan pemindahan darah yang didermakan disebabkan oleh penyelamatan sel. Untuk kesan lain, kami tidak pasti akan impak penyelamatan sel.

Campuran pembedahan pinggul, lutut dan tulang belakang: 14 RCT (4374 peserta)

Bukti tidak jelas bermakna kami tidak pasti tentang kesan penyelamatan sel.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai keyakinan yang sedikit terhadap bukti terhadap beberapa keputusan, dan kami tidak yakin terhadap bukti untuk keputusan yang lain. Ini adalah kerana ada kemungkinan bahawa peserta dalam kajian-kajian tersebut mengetahui tentang jenis rawatan yang mereka terima, dan sesetengah kajian adalah kecil.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini setakat Januari 2023, dan ia mengulas lebih lanjut dan mengemas kini bukti yang dilaporkan dalam ulasan terdahulu (2010).

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Rosnani zakaria (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information