Ini adalah versi kemas kini ulasan Cochrane terbitan terdahulu dalam isu 12, 2016 dari Pengkalan Data Ulasan Sistematik Cochrane.
Latar belakang
Epilepsi ialah gangguan saraf yang lazim di mana pelepasan elektrik abnormal dari otak menyebabkan sawan berulang. Kami mengkaji dua jenis sawan epilepsi dalam ulasan ini: sawan permulaan umum, di mana pelepasan elektrik bermula dari satu bahagian otak dan bergerak ke seluruh otak; dan sawan permulaan fokal, di mana sawan dihasilkan dan mempengaruhi satu bahagian otak (seluruh hemisfera otak atau sebahagian lobus otak). Sawan fokal mungkin menjadi umum (generalisasi sekuder) dan bergerak dari satu bahagian otak ke seluruh otak. Untuk kira-kira 70% orang dengan epilepsi, ubat antiepileptik tunggal boleh mengawal sawan permulaan umum atau permulaan fokal.
Ulasan ini terpakai untuk orang dengan sawan fokal (dengan atau tanpa generalisasi sekunder) dan orang dengan sawan tonik-klonik, sejenis sawan generalisasi khusus. Ulasan ini tidak terpakai untuk orang dengan jenis sawan generalisasi lain seperti sawan ‘absence’ atau sawan mioklonik, kerana rawatan yang disyorkan untuk jenis-jenis sawan ini berbeza.
Di seluruh dunia, phenobarbitone dan carbamazepine lazim diguna sebagai ubat antiepileptik, tetapi carbamazepine lebih kerap diguna di AS dan Eropah kerana kebimbangan terhadap kesan sampingan yang berkaitan dengan phenobarbitone, terutamanya kebimbangan terhadap perubahan tingkah laku dalam kalangan kanak-kanak yang dirawat dengan phenobarbitone. Phenobarbitone masih lazim diguna di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana di Afrika, Asia, dan Amerika Selatan kerana kosnya yang rendah.
Objektif
Tujuan ulasan ini adalah untuk membandingkan keberkesanan ubat-ubatan ini mengawal sawan, untuk mengetahui jika ia dikaitkan dengan kesan sampingan yang boleh menyebabkan individu menghentikan ubat, dan memberitahu pilihan antara ubat-ubatan ini.
Kaedah-kaedah
Carian terakhir untuk kajian adalah pada Mei 2018. Kami menilai bukti dari 13 kajian klinikal di mana orang menerima sama ada carbamazepine atau phenobarbitone dan rawatan mereka telah diputuskan secara rawak. Kami dapat menggabungkan data bagi 836 orang dari 6 daripada 13 kajian; untuk baki 619 orang daripada 7 kajian, data tidak didapati untuk diguna dalam ulasan ini.
Keputusan utama
Keputusan ulasan menunjukkan orang mungkin berhenti mengambil rawatan phenobarbitone lebih awal daripada rawatan carbamazepine, kerana perulangan sawan, kesan sampingan ubat, atau kedua-duanya. Keputusan juga menunjukkan perulangan sawan selepas memulakan rawatan dengan phenobarbitone mungkin berlaku lebih awal daripada rawatan dengan carbamazepine (oleh itu tempoh bebas sawan 6 bulan atau 12 bulan mungkin berlaku lebih awal dengan phenobarbitone berbandiing carbamazepine) untuk orang dengan sawan permulaan fokal, dan sebaliknya bagi orang dengan sawan permulaan umum.
Sesetengah kesan sampingan yang dilaporkan oleh orang yang mengambil carbamazepine dan orang yang mengambil phenobarbitone adalah sakit perut, loya, muntah, keletihan, masalah motor (seperti koordinasi yang teruk), masalah kognitif (memori yang teruk), ruam dan masalah kulit yang lain. Kesan sampingan tingkah laku seperti agresif dilaporkan bagi kedua-dua ubat dalam tiga kajian dalam kalangan kanak-kanak.
Kualiti bukti
Beberapa kajian yang menyumbang data kepada ulasan mempunyai masalah metodologi, yang mungkin memperkenalkan bias dan keputusan yang tidak konsisten ke dalam ulasan ini, dan sesetengah individu yang berumur lebih 30 tahun dengan sawan permulaan umum yang baru didiagnosis mungkin mempunyai jenis sawan yang disalah diagnosis. Masalah-masalah ini mungkin mempengaruuhi keputusan ulasan ini dan kami menilai kualiti bukti yang disediakan oleh ulasan ini sebagai sederhana hingga rendah. Kami tidak mencadangkan menggunakan hasil ulasan ini semata-mata untuk membuat pilihan di antara carbamazepine atau phenobarbitone untuk rawatan epilepsi. Kami mengesyorkan bahawa semua kajian masa depan yang membandingkan ubat-ubatan ini atau mana-mana ubat-ubatan antiepileptik lain harus direka dengan menggunakan kaedah yang berkualiti tinggi untuk memastikan keputusanya juga berkualiti tinggi.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.