Mesej utama
1. Lamotrigine adalah ubat antisawan yang diguna sebagai rawatan penunjang untuk sawan fokal dalam kalangan orang dengan epilepsi tahan ubat. Epilepsi fokal dicirikan oleh sawan yang muncul dari kawasan spesifik otak.
3. Lamotrigine mungkin berkesan untuk mengurangkan kekerapan sawan dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa, tetapi kajian lanjut perlu untuk menilai kesan jangka panjang lamotrigine dan untuk membandingkan lamotrigine dengan ubat tambahan lain.
Apakah epilepsi dan bagaimana ia dirawat?
Epilepsi adalah gangguan otak yang menyebabkan sawan berulang. Kira-kira satu pertiga daripada orang dengan epilepsi terus mengalami sawan walaupun menggunakan ubat antisawan. Ubat antisawan lama boleh memberi banyak kesan yang tidak diingini, oleh itu adalah penting untuk membangunkan terapi baharu yang berkesan. Beberapa ubat baru telah dibangunkan sebagai rawatan 'tambahan' (untuk diguna dalam kombinasi dengan ubat lain). Salah satu ubat baharu ini dipanggil lamotrigine.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu jika lamotrigine tambahan adalah lebih baik daripada plasebo tambahan (rawatan dummy) atau tiada rawatan tambahan untuk mengurangkan kekerapan sawan dan menarik diri daripada rawatan dan untuk memperbaik kognisi (keupayaan untuk belajar) dan kualiti hidup. Kami juga ingin tahu jika lamotrigine ada sebarang kesan yang tidak diingini.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang menilai lamotrigine tambahan berbanding plasebo tambahan atau tiada rawatan tambahan dalam kalangan orang dengan epilepsi fokal pada sebarang umur yang tidak respon kepada rawatan terdahulu (epilepsi fokal tahan ubat). Kami bandingkan dan rumuskan keputusan-keputusan kajian tersebut serta menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apa yang kami temui?
Kami mendapati 14 kajian yang mendaftarkan sejumlah 1806 orang (dewasa, kanak-kanak dan bayi).
Lamotrigine yang diguna dalam kombinasi dengan ubat antisawan lain dalam kalangan orang dengan epilepsi fokal yang tahan ubat mungkin lebih berkesan daripada plasebo untuk mencapai pengurangan 50% atau lebih kekerapan sawan. Di samping itu, orang yang mengguna lamotrigine tambahan mungkin tidak lebih cenderung untuk menghentikan rawatan berbanding mereka yang mengguna plasebo tambahan. Walau bagaimanapun, menambah lamotrigine kepada rawatan biasa mungkin menyebabkan lebih banyak kesan yang tidak diingini seperti tidak stabil (ataxia), pening, penglihatan berganda (diplopia) dan loya.
Penyelidikan berkualiti tinggi selanjutnya diperlukan untuk menilai sepenuhnya faedah dan kemudaratan lamotrigin tambahan berbanding plasebo tambahan atau tiada rawatan tambahan, dan dibandingkan dengan ubat antisawan baharu yang lain.
Apakah batasan bukti tersebut?
Kami sederhana yakin terhadap bukti, terutama kerana kajian-kajian melaporkan beberapa kejadian (sawan, pemberhentian rawatan, kesan tidak diingini).
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemaskini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga 3 Oktober 2022.
Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my