Kortikosteroid untuk palsi Bell

Soalan ulasan

Apakah kesan-kesan kortikosteroid keatas palsi Bell?

Latar Belakang

Palsi Bell adalah lumpuh atau kelemahan otot pada muka, biasanya di satu belah, dengan tiada sebab tertentu. Biasanya tanda-tanda akan pulih, akan tetapi tidak semestinya selalu. Mengurangkan keradangan saraf muka dengan kortikosteroid (steroid) dianggap dapat menghadkan kerosakan saraf. Ini adalah satu pengemaskinian daripada ulasan yang pertama kali diterbitkan pada tahun 2002 dan dikemaskini terakhir pada tahun 2010.

Ciri-ciri Kajian

Kami telah mengenal pasti tujuh kajian klinikal yang melibatkan 895 orang denga palsi Bell sebelah yang ringan, sederhana atau teruk dengan sebab yang tidak diketahui. Semua kajian ini melaporkan kadar pemulihan yang tidak lengkap (sebahagian orang yang megalami kelemahan muka) dan kami dapat mengabungkan keputusan-keputusan ini. Peserta dalam kajian ini adalah berumur dari 2 hingga 84 tahun. Mereka telah dirawat dengan kortikosteroid atau plasebo (rawatan yang tidak aktif), sama ada bersendirian atau secara gabungan dengan terapi lain. Hanya satu kajian yang melibatkan kanak-kanak sahaja, dari 24 bulan hingga 74 bulan. Tempoh kajian-kajian yang melibatkan orang dewasa dan kanak-kanak keseluruhannya adalah di antara 157 hari hingga 12 bulan.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Pemulihan yang tidak lengkap

Mengikut bukti berkualiti sederhana dan tinggi, kortikosteroid mengurangkan bilangan orang dengan kelemahan muka selepas palsi Bell berbanding dengan plasebo (perubatan berpura-pura). Penemuan ini adalah berdasarkan data daripada tujuh kajian yang melibatkan 895 peserta yang mengalami palsi Bell dengan darjah keterukan yang berbeza-beza. Kami berhitung seramai 10 orang perlu dirawati untuk berjaya mengelakan kelemahan muka satu orang.

Lima kajian menyediakan data kesan jangka panjang palsi Bell berikutan rawatan. Dua daripada kajian (75 peserta) melihat kesan berterusan pada penampilan muka selepas enam bulan atau lebih. Kesannya adalah hampir sama untuk kortikosteroid dan plasebo, dan ini menunjukkan bahawa peserta yang dirawat dengan kortikosteroid mendapat sedikit manfaat, walaupun bukti ini adalah berkualiti rendah. Data daripada tiga kajian (485 peserta) menunjukkan dengan jelas bahawa orang yang menerima kortikosteroid kurang mengalami synkinesis motor (pergerakan wajah yang tidak diingini) dan air mata buaya (mata berair semasa makan atau mengunyah), berbanding dengan orang-orang yang menerima placebo sahaja. Penemuan ini berdasarkan kualiti bukti yang sederhana.

Kesan sampingan

Tiga kajian melaporkan bahawa tidak ada kesan sampingan yang boleh dikaitkan dengan rawatan kortikosteroid. Berdasarkan bukti berkualiti sederhana dari tiga kajian (715 peserta), jumlah orang yang mengalami kesan sampingan adalah sama dengan kortikosteroid dan plasebo.

Bukti ini adalah terkini sehingga March 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my

Tools
Information