Soalan kajian
Adakah sedutan kortikosteroid yang diberi kepada bayi pramatang dengan berat lahir sehingga 1500 gram bermula dalam dua minggu pertama selepas kelahiran mencegah penyakit paru-paru kronik seperti yang ditunjukkan oleh keperluan oksigen tambahan pada usia 36 minggu selepas haid?
Latar Belakang
Bayi pramatang yang memerlukan sokongan pernafasan sering mendapat penyakit paru-paru kronik. Keradangan paru-paru mungkin sebahagian daripada puncanya. Ubat kortikosteroid yang diberi secara oral atau melalui vena mengurangkan keradangan ini. Bagaimanapun, penggunaan kortikosteroid dikaitkan dengan kesan sampingan yang serius termasuk palsi serebrum (masalah motor) dan kelewatan perkembangan. Ada kemungkinan bahawa menyedut steroid, supaya ubat itu terus sampai ke paru-paru, dapat mengurangkan kesan buruk. Ulasan ini melihat kajian yang membandingkan bayi pramatang yang menerima steroid atau plasebo (ubat tidak aktif) melalui sedutan ketika mereka menerima sokongan pernafasan. Tidak ada bukti sebelum ini bahawa pemberian awal sedutan steroid mengurangkan penyakit paru-paru kronik.
Ciri-ciri kajian
Dari carian kesusasteraan yang dikemaskini hingga 5 Januari 2016, 10 kajian rawak terkawal yang mendaftarkan 1644 bayi dimasukkan.
Sumber pembiayaan kajian
Kami tidak mengetahui apa-apa bantuan kewangan daripada industri untuk kajian yang disertakan.
Keputusan utama
Dalam maklumat ulasan ini, tiada pengurangan yang ketara dalam kadar penyakit paru-paru kronik pada usia 36 minggu selepas haid.. Pengurangan ketara dalam hasil gabungan kematian atau penyakit paru-paru kronik pada usia 36 minggu selepas haid dalam kalangan neonat secara rawak dan pemandiri telah dicatat. Walaupun keputusan adalah ketara, selang keyakinan atas adalah infiniti (iaitu kami perlu merawat setiap bayi dengan sedutan steroid untuk menghalang seorang bayi dari kematian atau mengalami penyakit paru-paru kronik pada usia 36 minggu selepas haid). Ini tidak boleh diterima dalam amalan klinikal. Kadar intubasi ulangan yang lebih rendah (keperluan untuk memasukkan tiub ke dalam saluran udara) telah diperhatikan dalam kumpulan steroid berbanding dengan kumpulan kawalan dalam satu kajian yang besar. Tiada perbezaan statistik yang ketara dalam komplikasi jangka pendek dan jangka panjang antara kumpulan. Keputusan tentang susulan jangka panjang dalam satu kajian besar masih dinantikan.
Kualiti bukti
Secara umumnya kualiti kajian adalah baik..
Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (Penang Medical College). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi fsooklee@gmail.com.