Mesej utama
Terdapat bukti yang tidak mencukupi bagi menyokong rawatan-rawatan yang telah dicadangkan untuk oklusi akut bukan arteritik arteri retina pusat .
Apakah yang ingin kami ketahui?
Oklusi arteri retina pusat berlaku apabila bekalan darah ke bahagian dalam retina (lapisan sensitif cahaya di dalam mata) tiba-tiba tersumbat. Sekiranya sumbatan dikeluarkan dalam waktunya, dan bekalan darah dikembalikan semula ke retina, pemulihan sepenuhnya adalah mungkin. Walau bagaimanapun, sekiranya sumbatan berpanjangan, sel-sel retina akan mati. Pelbagai kaedah telah dicuba untuk mengeluarkan sumbatan termasuk mengurut mata, mengurangkan tekanan di dalam mata, dan melarutkan klot dengan ubat-ubatan. Rawatan terbaik untuk mewujudkan semula bekalan darah adalah tidak diketahui, dan sesetengah rawatan boleh dikaitkan dengan kesan-kesan buruk yang serius.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang meneliti rawatan untuk oklusi akut bukan arteritik arteri retina pusat. Kami merumuskan keputusan kajian tersebut dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang telah kami temui?
Adalah tidak jelas sama ada sebarang rawatan boleh meningkatkan ketajaman penglihatan (betapa jelas mata anda boleh melihat dan membezakan objek) apabila dibandingkan dengan pemerhatian. Sesetengah orang yang dirawat dengan pengaktif plasminogen tisu (suatu protein yang terlibat dalam pemecahan klot darah) mengalami kesan buruk yang serius seperti pendarahan ke dalam tisu otak.
Apakah batasan bukti?
Kami mempunyai keyakinan yang rendah terhadap bukti kerana hanya sedikit bilangan kajian yang telah disertakan.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Kami telah mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga 15 Februari 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).