Latar belakang
Simptom yang paling lazim bagi iskemia kaki kronik (kurang aliran darah ke kaki) adalah klaudikasi, sakit kekejangan yang disebabkan kekurangan bekalan darah kepada otot terbabit. Keadaan ini sering melibatkan otot betis, dan biasanya dicetuskan oleh senaman dan lega apabola rehat. Sekatan belakan darah yang lebih teruk boleh menghasilkan sakit semasa rehat, ulser kaki, atau gangren. Keadaan-keadaan ini, dan klaudikasi teruk, mungkin memerlukan pembedahan pintasan atau rawatan lain untuk menambahbaik aliran darah ke kaki.
Keputusan utama
Sorotan sebelas kajian dengan sejumlah 1486 peserta (terkini setakat Oktober 2016) ini telah mengenal pasti enam kajian yang membandingkan pembedahan pintasan dengan angioplasti (peregangan belon dan/atau kemasukan sten dalam arteri yang sempit atau tersumbat), dan satu kajian masing-masing bagi endarterektomi jauh (kombinasi pembuangan plak dan sten), tromboendarterektomi (pembuangan plak dan klot), trombolisis (pelarutan klot), senaman, dan rangsangan saraf tunjang. Dalam sorotan ini, tidak terdapat bukti untuk menyokong pembedahan pintasan berbanding angioplasti dari segi kesan terhadap kematian, penambaikan simptom, kadar amputasi, keperluan prosedur lanjutan, atau mortaliti jangka panjang. Komplikasi prosedur berlaku lebih kerap dalam kalangan pesakit yang menghidap iskemia kaki teruk (sakit semasa berehat, ulser, atau gangren) yang menjalani pembedahan pintasan berbanding dengan pesakit yang menjalani angioplasti. Terdapat bukti bahawa pembedahan pintasan lebih berjaya secara teknikal, dikaitkan dengan tempoh tinggal di hospital yang lebih lama dan kadar graf pintasan kekal terbuka (paten) lebih tinggi setahun selepas prosedur berbanding angioplasti; perbezaan paten yang menyokong surgeri lenyap selepas empat tahun. Tidak terdapat bukti jelas untuk menyokong pembedahan pintasan berbanding dengan rawatan lain, seperti komplikasi dan kematian, penambahbaikan klinikal, patensi salur darah, dan mortaliti jangka panjang. Pembandingan pembedahan pintasan dengan trombolisis menunjukkan kurang amputtasic dalam kalangan pesakit yang menjalani pembedahan pintasan, manakala bagi pembandingan-pembandingan yang lain, kadar amputasi adalah serupa.
Kualiti bukti
Secara am, kualiti bukti adalah tinggi bagi semua kecuali dua hasil klinikal yang paling penting. Kualiti bukti bagi penambahbaikan klinikal adalah rendah kerana ini merupakan hasil yang subjektif yang berisiko bias memandangkan penilai-penilai hasil tidak dibutakan terhadap rawatan yang dikaji dan terdapat perbezaan keputusan antara kajian-kajian. Kualiti bukti bagi patensi graf pintasan adalah sederhana kerana terdapat perbezaan dalam keputusan antara kajian-kajian. Kajian lanjutan yang melibatkan lebih ramai peserta diperlukan untuk menyiasat keberkesanan pembedahan pintasan bagi iskemia kaki kronik.
Diterjemahkan oleh Tan Wing (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi jame5wtan93@gmail.com.