Nasihat diet untuk orang dewasa yang mengalami kekurangan zat makanan akibat penyakit

Soalan ulasan

Bolehkah nasihat pemakanan dengan atau tanpa pemakanan tambahan oral (ONS) memperbaiki kekurangan zat makanan yang berkaitan dengan penyakit pada orang dewasa?

Latar belakang

Orang yang sakit selalunya kurang selera makan atau berasa sakit kerana ubat-ubatan atau rawatan lain dan makan kurang daripada biasa. Kurang makan dalam jangka masa yang lebih lama boleh menyebabkan penurunan berat badan, kekurangan zat makanan, lebih banyak masalah kesihatan dan kematian. Pakar penjagaan kesihatan mungkin menawarkan nasihat tentang perubahan diet untuk membantu orang ramai mewujudkan semula tabiat pemakanan yang baik. Mereka mungkin mengesyorkan makanan berprotein tinggi dan bertenaga tinggi supaya mereka boleh menambah berat badan dan meningkatkan pemakanan dan kesihatan umum mereka. Ia adalah perkara biasa bagi orang yang sakit untuk ditawarkan ONS dengan atau tanpa nasihat tentang menukar pengambilan makanan mereka.

Untuk mencari jawapan terbaik kepada soalan ulasan kami, kami mencari kajian yang membandingkan lima pilihan rawatan yang berbeza: nasihat pemakanan berbanding tanpa nasihat; nasihat pemakanan berbanding dengan ONS; nasihat pemakanan ditambah ONS berbanding dengan nasihat pemakanan; nasihat pemakanan ditambah ONS jika sesuai berbanding tanpa nasihat pemakanan; dan nasihat pemakanan serta ONS berbanding tanpa nasihat pemakanan dan tiada ONS. Untuk menjadikan perbandingan ini adil, kami mencari percubaan terkawal rawak (RCT), yang mana orang yang mengambil bahagian mempunyai peluang yang sama (seperti selakan duit syiling) untuk berada dalam mana-mana kumpulan yang sedang dibandingkan.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 01 Mac 2021.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati 94 kajian (dengan jumlah 10,284 orang) yang boleh kami sertakan dalam ulasan kami. Walaupun orang tua mempunyai risiko kekurangan zat makanan yang lebih tinggi, orang dalam kajian ini berumur antara 17 hingga lebih 80 tahun dan mereka tinggal sama ada di rumah, dalam komuniti, atau di hospital. Mereka mempunyai pelbagai keadaan kesihatan, termasuk kanser, demensia dan penyakit buah pinggang. Kajian melaporkan peserta untuk tempoh tinggal di hospital mereka atau dalam sesetengah orang dalam komuniti sehingga enam setengah tahun.

Hasil-hasil utama kajian

Tiada bukti bahawa mana-mana rawatan mempengaruhi berapa lama ramai orang dalam kajian itu hidup. Mereka ada melaporkan beberapa perubahan positif dalam pengambilan tenaga (diukur dalam kalori), pengambilan protein, berat badan, pukal otot dan kualiti hidup. Terdapat beberapa pengurangan dalam komplikasi dan tempoh masa yang dihabiskan di hospital. Walau bagaimanapun, tiada bukti jelas tentang rawatan mana yang paling membantu atau masa yang diperlukan untuk mencapai sebarang manfaat. Sedikit kajian melaporkan keputusan secara berasingan untuk lelaki dan wanita dan oleh itu kami tidak boleh mengulas sama ada terdapat sebarang perbezaan keseluruhan mengikut jantina. Tiada kajian merekodkan maklumat tentang kejadian buruk (kemudaratan) jadi kami tidak boleh menawarkan ringkasan tentang kemungkinan bahaya.

Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mencari cara terbaik untuk membantu orang yang kehilangan berat badan kerana penyakit untuk meningkatkan hasil klinikal dan kualiti hidup mereka.

Kepastian bukti

Secara keseluruhan kami menilai kepastian bukti sebagai rendah untuk kebanyakan keputusan, yang bermaksud bahawa kami tidak boleh yakin tentang penemuan yang kami laporkan. Terdapat beberapa sebab untuk ini. Beberapa perbandingan rawatan yang kami lihat hanya mempunyai beberapa kajian dan beberapa daripadanya mempunyai bilangan peserta yang kecil. Terdapat masalah dengan reka bentuk beberapa kajian yang mungkin menjejaskan keputusan. Sesetengah orang tahu rawatan yang mereka terima. Kami berpendapat ianya mungkin mempengaruhi cara mereka melaporkan beberapa perubahan, contohnya pengambilan tenaga dan protein, berat badan dan kualiti hidup mereka. Kami berpendapat bahawa cara keputusan tentang kumpulan mana yang dilalui seseorang pada permulaan kajian mungkin telah menjejaskan keputusan untuk beberapa hasil, contohnya perubahan berat badan, perubahan pukal otot dan kematian.

Kami perlu melihat hasil tertentu untuk membantu kami memahami sama ada orang dewasa yang hidup dengan kekurangan zat makanan berkaitan penyakit boleh meningkatkan kemandirian, berat badan dan kualiti hidup am mereka jika mereka menerima nasihat tentang pemakanan dengan atau tanpa ONS. Tiada kajian melaporkan semua keputusan yang kami perlukan untuk melakukan ini. Kami tidak dapat menganggarkan sama ada peserta mendapat apa-apa faedah daripada rawatan, seperti memendekkan tempoh berada di hospital, mengurangkan risiko kemasukan semula ke hospital atau mengalami komplikasi. Kepastian bukti yang rendah, tanpa bukti dalam banyak bidang, bermakna kami tidak boleh membuat kenyataan tentang sebarang faedah dan kemungkinan keburukan rawatan ini walaupun pada hakikatnya ianya digunakan secara meluas dalam amalan klinikal. Kami mengesyorkan agar kajian masa depan harus direka bentuk untuk mengukur hasil penting yang berpusatkan pesakit dan penjagaan kesihatan ini serta sebarang kemungkinan bahaya.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information