Soalan ulasan
Kami mencari bukti untuk menunjukkan perbezaan antara pemberian antibiotik intravena sekali sehari berbanding dengan memberi mereka beberapa kali sehari ketika merawat penyakit suar (penyakit paru-paru) pada orang dengan fibrosis sistik. Ini adalah satu pengemaskinian daripada ulasan terdahulu.
Latar belakang
Kebanyakan orang dengan fibrosis sistik mengalami jangkitan paru-paru yang berterusan dan mereka mungkin menerima antibiotik intravena yang kerap untuk merawat eksaserbasi paru-paru. Pemberian antibiotik hanya sekali sehari berbanding beberapa dos sehari akan mengurangkan kos rawatan dan masa yang terlibat.
Tarikh carian
Bukti adalah terkini sehingga 31 Januari 2019.
Ciri-ciri kajian
Ulasan ini merangkumi lima kajian dengan sejumlah 354 kanak-kanak dan orang dewasa. Semua kajian membandingkan dos sekali sehari dengan tiga kali sehari.
Keputusan-keputusan utama
Ulasan mendapati bahawa apabila merawat orang dengan fibrosis sistik untuk eksaserbasi pulmonari, pemberian antibiotik sekali sehari sama baiknya dengan memberi mereka lebih kerap dari segi fungsi paru-paru dan indeks jisim badan. Ulasan itu juga mendapati bahawa memberikan antibiotik sekali sehari kelihatan kurang toksik kepada buah pinggang pada kanak-kanak. Tiada perbezaan di antara jadual rawatan yang berbeza untuk hasil lain yang diukur oleh kajian.
Walaupun rawatan sekali sehari boleh menjadi berkesan dan lebih mudah daripada rawatan tiga kali sehari, kami mencadangkan kajian lanjut untuk melihat keselamatan jangka panjang jadual rawatan ini.
Kualiti bukti
Kami menilai bahawa hanya satu daripada lima kajian yang membawa risiko rendah yang mana faktor reka bentuk mungkin mempengaruhi keputusan hasil. Dalam empat kajian yang berlainan, kami berpendapat bahawa ia jelas sama ada antibiotik diberikan sekali atau tiga kali sehari dapat mempengaruhi beberapa langkah hasil (seperti fungsi paru-paru). Faktor risiko yang lain tidak jelas atau berisiko rendah. Kami menilai bukti untuk fungsi paru-paru, indeks jisim badan dan bukti untuk kesan sampingan (seperti Ketoksikan) sebagai sederhana hingga rendah.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com