Adakah ianya selamat untuk menggunakan kiraan darah yang lebih rendah (paras hemoglobin) sebagai pencetus untuk transfusi darah demi mengurangkan transfusi darah?

Mesej utama

• Tiada bukti bahawa pemberian transfusi darah kepada pesakit dengan kiraan darah rendah (paras hemoglobin 7.0 g/dL sehingga 8.0 g/dL) berbanding kiraan darah tinggi (paras hemoglobin 9.0 g/dL sehingga 10.0 g/dL) mempengaruhi risiko kematian, serangan jantung, infarksi miokardium, strok, pneumonia, pembekuan darah atau jangkitan.

• Pemindahan darah hanya kepada pesakit dengan kiraan darah rendah (paras hemoglobin 7.0 g/dL sehingga 8.0 g/dL) akan mengurangkan jumlah darah yang dipindahkan dengan ketara. Ia juga akan mengurangkan risiko transfusi yang tidak diperlukan (transfusi boleh mendatangkan kesan berbahaya).

• Lebih banyak kajian diperlukan untuk:

- menentukan kiraan darah di mana transfusi darah diperlukan dalam orang yang mengalami serangan jantung, kecederaan otak, atau mempunyai barah; dan untuk

- meningkatkan pemahaman kami terhadap hasil selain kematian, termasuk kualiti hidup.

Apakah yang berlaku dalam orang yang memerlukan transfusi darah?

Doktor dan penjaga kesihatan profesional sering memberikan transfusi darah kepada orang yang kehilangan darah melalui pembedahan, pendarahan, atau penyakit. Sebagai contoh, transfusi darah mungkin membantu pesakit dengan anemia pulih selepas pembedahan, tetapi transfusi hanya patut diberi apabila ia membantu orang ramai pulih daripada keadaan perubatan mereka. Darah ialah sumber yang terhad dan transfusi bukannya bebas daripada risiko, terutamanya untuk orang di negara berpendapatan rendah di mana darah yang digunakan dalam transfusi mungkin tidak diuji untuk virus berbahaya seperti HIV atau hepatitis.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kiraan darah mengukur jumlah hemoglobin dalam darah. Hemoglobin ialah protein yang memberikan darah warna merahnya dan membawa oksigen ke seluruh badan. Kiraan darah normal adalah sekitar 12 gram per desiliter (12 g/dL). Kami ingin mengetahui sama ada ianya selamat untuk menahan transfusi darah sehingga kiraan darah menurun ke antara 7.0 g/dL sehingga 8.0 g/dL, bukannya melakukan transfusi lebih awal pada kiraan darah yang lebih tinggi antara 9.0 g/dL sehingga 10.0 g/dL.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah meneliti hasil kajian yang mengagihkan pesakit kepada satu daripada dua kumpulan secara rawak (sebagai contoh, dengan melambung syiling). Dalam satu kumpulan, pesakit hanya menerima transfusi darah jika kiraan darah mereka jatuh di bawah ambang yang lebih tinggi (biasanya, 9.0 g/dL sehingga 10.0 g/dL). Dalam kumpulan lain, pesakit hanya menerima transfusi darah jika kiraan darah mereka jatuh di bawah ambang yang lebih rendah (biasanya, 7.0 g/dL to 8.0 g/dL).

Apakah yang kami temui?

Kami telah menemui 48 kajian yang melibatkan 21,433 pesakit. Pesakit-pesakit tersebut telah dimasukkan ke hospital atas pelbagai sebab termasuk: pembedahan tulang (ortopedik), jantung (kardiak) atau vaskular; penjagaan kritikal; kehilangan darah akut (sebagai contoh, melalui pendarahan dalam perut atau usus); penyakit jantung; barah dan barah darah. Kajian-kajian tersebut telah membandingkan ambang kiraan darah yang lebih tinggi atau rendah untuk transfusi darah. (‘Ambang’ merujuk kepada paras kiraan darah yang perlu dicapai sebelum tranfusi akan diberikan.)

Transfusi

Kami mendapati pesakit yang menerima transfusi hanya pada ambang kiraan darah yang lebih rendah adalah 41% kurang berkemungkinan untuk menerima transfusi darah berbanding mereka yang hanya menerimanya pada ambang kiraan darah yang lebih tinggi. Sekiranya ambang yang lebih rendah diguna pakai oleh kakitangan perubatan dengan lebih kerap, ia akan menyebabkan pengurangan ketara dalam kuantiti darah yang diperlukan.

Kejadian kematian dan berbahaya

Tiada perbezaan yang ketara dalam risiko kematian dalam 30 hari menerima, atau tidak menerima transfusi untuk pesakit dalam kumpulan ambang yang berbeza.

Tiada perbezaan yang ketara antara kumpulan ambang rendah dan tinggi untuk bilangan kejadian berbahaya serius yang berlaku selepas pesakit menerima, atau tidak menerima transfusi darah. Kejadian berbahaya yang direkodkan termasuk infeksi (pneumonia, jangkitan luka, dan keracunan darah), serangan jantung, strok, dan masalah dengan pembekuan darah.

Apakah limitasi bukti tersebut?

Kami mendapati kebanyakan kajian menyediakan kualiti bukti yang tinggi; ia telah dijalankan dengan secukupnya dan menggunakan kaedah yang mengurangkan bias yang boleh menyebabkan kesahihan keputusan tidak pasti.

Kami yakin dengan bukti berkenaan kemungkinan menerima transfusi, kematian dalam 30 hari transfusi, serangan jantung, strok dan infeksi. Kami berkeyakinan secara sederhana dalam bukti berkenaan masalah yang disebabkan oleh pembekuan darah, tetapi terlalu sedikit kes berlaku dalam mana-mana kumpulan supaya kami boleh berasa lebih yakin.

Terlalu sedikit kajian yang menilai kualiti hidup untuk kami melihat sama ada ia berbeza antara kumpulan.

Adakah bukti ini mutakhir?

Ulasan Cochrane mengemas kini kerja kami mengenai subjek ini yang sebelumnya (terakhir diterbitkan pada 2016). Tujuh belas kajian baharu telah dimasukkan. Bukti adalah terkini sehingga November 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Yin Xin (Alphanumeric). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information