Rawatan opioid untuk sarak opioid dalam kalangan bayi baru lahir

Soalan ulasan

Untuk menentukan efikasi dan keselamatan menggunakan opioid berbanding sedatif atau rawatan bukan farmakologi untuk rawatan sindrom abstinens neonat (NAS) akibat sarak dari opioid.

Latar belakang

Penggunaan opioid (dipreskrib atau sulit) oleh wanita hamil boleh menyebabkan bayi baru lahir mengalami gejala sarak, yang secara kolektif disebut sebagai sindrom abstinens neonat (NAS). Gejala ini boleh mengakibatkan gangguan hubungan ibu-bayi, kesukaran tidur dan makan, susut berat badan dan sawan. Rawatan untuk bayi baru lahir yang diguna untuk memperbaiki NAS dan mengurangkan komplikasi termasuklah penjagaan sokongan (seperti puting, membedung, balutan kemas, penyusuan yang sedikit dan kerap, kontak kulit yang rapat dengan anduh, dan kaedah lain), preskripsi opioid atau sedatif, atau kedua-duanya.

Ciri-ciri kajian

Bukti ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga September 2020.

Keputusan utama

Kami menyertakan 16 kajian melibatkan 1110 bayi dengan gejala sarak akibat penggunaan opioid oleh ibu semasa hamil. Sebelas daripada 16 kajian yang disertakan dilakukan di AS. Australia, Jerman, Iran, Scotland dan Switzerland masing-masing menyumbang satu kajian. Kami menganggap tujuh kajian mungkin menghasilkan keputusan yang boleh percaya (berisiko bias rendah). Semua kajian agak kecil dan kebanyakannya menyertakan bayi yang mana ibunya menggunakan opioid serta ubat-ubatan pergantungan lain. Beberapa formulasi yang diguna untuk merawat bayi dalam kajian yang disertakan tidak memenuhi panduan kawal selia untuk keselamatan bayi.

Tiada cukup bukti untuk menentukan keberkesanan dan keselamatan intervensi bukan farmakologi sahaja berbanding intervensi bukan farmakologi ditambah dengan agen farmakologi (ubat seperti opioid atau sedatif) untuk rawatan NAS. Satu kajian tunggal melaporkan penambahan opioid (morfin) kepada rawatan sokongan berbanding rawatan sokongan sahaja, meningkatkan tempoh hospitalisasi dan rawatan, tetapi mengurangkan bilangan hari untuk kembalikan berat lahir dan tempoh penjagaan sokongan setiap hari.

Bukti dari enam kajian mendapati penggunaan opioid dapat mengurangkan kadar kegagalan rawatan, berbanding penggunaan sedatif fenobarbital atau diazepam. Kegagalan rawatan bermaksud kegagalan untuk mencapai kawalan gejala, yang ditakrif sebagai kegagalan untuk mengurangkan skor standard NAS dari tahap signifikan ke tahap 'selamat' secara klinikal. Di samping itu, bukti dari enam kajian ini menunjukkan penggunaan opioid mungkin ada sedikit atau tiada kesan kepada tempoh hospitalisasi atau rawatan berbanding penggunaan sedatif fenobarbital atau diazepam. Terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kegagalan rawatan mengikut jenis opioid yang diguna (morfin, metadon atau buprenorfina). Walau bagaimanapun, penggunaan opioid buprenorfina mungkin mengurangkan tempoh hospitalisasi dan tempoh rawatan berbanding morfin. Tiada cukup bukti untuk menentukan keberkesanan dan keselamatan clonidine, sejenis sedatif.

Kami mengenal pasti enam kajian yang sedang dijalankan dan empat kajian yang menunggu pengkelasan, yang mana keputusannya belum dimasukkan dalam ulasan ini.

Kepastian bukti

Kepastian tentang bukti adalah rendah ke sangat rendah bagi majoriti hasil yang dilaporkan. Terdapat kepastian sederhana kegagalan rawatan dikurangkan dengan penggunaan opioid berbanding sedatif fenobarbital atau klorpromazin. Terdapat kepastian sederhana penggunaan buprenorfina sublingual (di bawah lidah) mengurangkan tempoh rawatan dan hospitalisasi berbanding penggunaan morfin.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information