Radioterapi prabedah dan pembedahan kuratif untuk pengurusan karsinoma rektum setempat

Latar belakang

Kanser rektum adalah salah satu penyebab kematian kanser yang lazim di dunia barat. Individu yang didiagnos dengan kanser rektum terutamanya dirawat dengan pembedahan. Walau bagaimanapun, risikonya kanser rektum akan berulang selepas rawatan pembedahan. Radioterapi sebelum pembedahan dapat mengurangkan risiko perulangan setempat kerana radioterapi dapat memusnahkan tumor residual yang kecil dan mempertingkat kesan pembedahan.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan data perubatan pada 4 Jun 2018 untuk kajian rawak terkawal (kajian eksperimen di mana orang diperuntukkan secara rawak kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) untuk menentukan sama ada terdapat manfaat radioterapi sebelum rawatan pembedahan bagi orang dengan kanser rektum dari segi mengurangkan risiko kematian sebarang punca, risiko kematian akibat kanser, dan risiko kanser berulang di pelvis. Kami mempertimbangkan rejimen dos-tinggi radioterapi diikuti dengan sebarang jenis rawatan pembedahan untuk menyingkirkan kanser rektum.

Keputusan

Kami temui empat kajian melibatkan 4663 orang dengan kanser rektum yang boleh dibedah. Keputusan kami mencadangkan pemberian radioterapi jangka pendek sebelum pembedahan mungkin mengurangkan mortaliti. Walau bagaimanapun, apabila analisis kami terbatas kepada jenis pembedahan kontemporari (eksisi mesorektal total), tiada bukti perbezaan antara kumpulan yang menerima radioterapi sebelum pembedahan dan kumpulan yang menerima pembedahan sahaja. Mungkin ada sedikit atau tiada perbezaan antara kumpulan tentang kematian yang berkaitan dengan kanser apabila radioterapi jangka pendek digunakan.

Kami mendapati bukti berkualiti sederhana penggunaan radioterapi prabedah berbanding pembedahan sahaja mungkin memberi manfaat besar dari segi pengurangan perulangan setempat kanser tersebut.

Terdapat sedikit atau tiada kesan radioterapi prabedah terhadap reseksi kuratif dan pembedahan ‘sphincter-sparing’.

Kami dapati kadar sepsis, komplikasi pembedahan, dan komplikasi seksual lebih tinggi dalam kalangan peserta yang dirawat dengan radioterapi berbanding mereka yang hanya menerima pembedahan.

Kualiti bukti

Secara keseluruhan kajian-kajian bereka bentuk baik. Kami menilai kualiti bukti sebagai sederhana untuk perulangan kanser dan mortaliti keseluruhan, kerana terdapat kebimbangan serius tentang kebolehgunaan penemuan dalam pengurusan kontemporari kanser rektum.

Kami menurunkan gred kualiti bukti untuk hasil yang berbaki akibat keputusan-keputusan yang tidak tepat dan/atau variasi antara kajian-kajian kriteria yang diguna untuk mendefinisi kanser rektum, tahap kanser peserta, pengimejan prabedah yang diguna untuk menilai tahap kanser, jenis pembedahan yang dibuat, dos dan pecahan radiasi, masa antara radioterapi dan pembedahan, dan penggunaan terapi adjuvan atau terapi pascabedah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Melvin Chuin Shen Hoo (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information