Antibiotik untuk pneumonia yang diperolehi dari komuniti dalam kalangan pesakit luar remaja dan orang dewasa

Soalan ulasan

Ulasan ini mengkaji kesan antibiotik ke atas remaja dan orang dewasa yang menghidap pneumonia yang diperolehi dan dirawat di komuniti (berbanding dengan pneumonia yang diperolehi di hospital dan/atau sedang dirawat untuk pneumonia di hospital). Bukti dalah terkini sehingga Mac 2014.

Latar belakang

Jangkitan saluran pernafasan bahagian bawah adalah punca kematian yang ketiga di seluruh dunia dan punca utama kematian di negara-negara berpendapatan rendah. Pneumonia, atau jangkitan paru-paru, adalah satu keadaan yang lazim mewakili beban penyakit yang ketara dalam masyarakat. Pneumonia mengancam nyawa kanak-kanak berusia bawah lima tahun, orang tua dan orang yang menghidap penyakit-penyakit lain yang boleh menjejaskan sistem imun mereka (seperti diabetis atau HIV/AIDS, atau penerima pemindahan organ pepejal). Antibiotik adalah rawatan yang paling lazim diguna untuk merawat pneumonia dan ia boleh berbeza dari segi keberkesanan dan kesan buruk.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti 11 kajian (dengan 3352 peserta berusia lebih daripada 12 tahun dengan diagnosis pneumonia yang diperolehi dari komuniti), yang diterbitkan sepenuhnya dalam jurnal yang diulas rakan sebaya, memfokuskan rawatan pneumonia dalam kalangan remaja dan orang dewasa dalam komuniti yang dirawat di persekitaran pesakit luar. Ini termasuk lima kajian baru kerana ulasan terakhir diterbitkan pada tahun 2009. Tiada di antara kajian tersebut membandingkan antibiotik dengan plasebo; semua kajian memasukkan satu atau lebih antibiotik. Semua peserta didiagnosis dengan pneumonia berdasarkan diagnosis klinikal oleh pakar perubatan dan X-ray dada.

Sumber dana kajian

Semua kajian yang dimasukkan telah dijalankan dengan baik; sembilan daripada 11 kajian ditaja oleh syarikat-syarikat bio-farmaseutikal pembuatan antibiotik yang digunakan dalam kajian ini, atau pengarang mereka yang berkait rapat dengan syarikat.

Keputusan-keputusan utama

Sembilan daripada kajian tersebut membandingkan pelbagai antibiotik, oleh itu kami tidak boleh menggabungkan keputusan kajian individu untuk membentangkan kesimpulan keseluruhan. Terdapat beberapa kejadian buruk yang ketara dalam tujuh kajian: 1) erythromycin menunjukkan kesan sampingan gastrousus yang ketara berbanding clarithromycin dalam dua kajian; 2) nemonoxacin menunjukkan kejadian buruk yang lebih tinggi dalam gastrousus (loya, cirit-birit) dan sistem saraf (pening, sakit kepala) berbanding dengan levofloxacin; 3) cethromycin menunjukkan lebih banyak kesan yang sampingan, terutamanya gangguan deria rasa berbanding clarithromycin; 4) gastritis dan cirit-birit lebih lazim dalam kumpulan amoxicillin dos tinggi (1 g tiga kali sehari) berbanding tiga kumpulan antibiotik lain (clarithromycin, azithromycin dan levofloxacin).

Rumusan

Malangnya, tiada kajian yang cukup untuk membandingkan kesan antibiotik yang berbeza untuk pneumonia yang diperolehi dan dirawat di komuniti.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information