Makanan tambahan untuk sakit semasa haid

Soalan sorotan

Penulis Cochrane mengulas bukti kesan makanan tambahan (seperti vitamin, mineral, herba) pada sakit haid (dismenorea).

Latar belakang

Makanan tambahan telah digunakan dalam rawatan sakit haid. Adalah penting untuk meneroka faedah dan bahaya mereka. Penyelidik mengkaji keberkesanan makanan tambahan berbanding dengan suplemen lain, plasebo, tanpa rawatan atau analgesik konvensional (kelegaan kesakitan) pada wanita yang mempunyai dismenorea primer (tidak berkaitan dengan sebarang diagnosis lain) atau dismenorea sekunder (berkaitan dengan punca lain, seperti endometriosis) . Bukti ini adalah terkini sehingga 23 March 2015.

Ciri-ciri kajian

Penyelidik termasuk 27 kajian rawak terkawal (3101 wanita). Kebanyakan peserta adalah pelajar pada usia lewat remaja atau awal dua puluhan dengan dismenorea primer. Kebanyakan kajian dijalankan di Iran. Intervensi termasuk 12 ubat herba berbeza (kamomil, kayu manis, ros Damask, dill, fennel, fenugreek, halia, jambu, rhubarb, uzara, valerian, dan zataria) dan lima makanan tambahan bukan herba (minyak ikan, melatonin, vitamin B1 dan E , dan zink sulfat) dalam pelbagai formulasi dan dos. Tambahan berbanding dengan tambahan lain, plasebo, tanpa rawatan, dan ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs).

Keputusan utama

Tiada bukti berkualiti yang tinggi untuk menyokong keberkesanan sebarang makanan tambahan untuk dismenorea, dan bukti keselamatan adalah kurang. Walau bagaimanapun, bagi beberapa makanan tambahan terdapat beberapa bukti keberkesanan berkualiti rendah. Tambahan yang terdapat beberapa bukti yang sangat terhad untuk menunjukkan manfaat yang berpotensi adalah fenugreek, halia, valerian, zataria, zink sulfat, minyak ikan, dan vitamin B1.

Tiada bukti manfaat yang kuat bagi melatonin berbanding plasebo untuk dismenorea sekunder disebabkan endometriosis.

Kualiti bukti

Bukti adalah berkualiti rendah atau sangat rendah untuk semua perbandingan. Kekangan utama adalah ketidaktepatan kerana saiz sampel yang sangat kecil, kegagalan melaporkan kaedah kajian, dan ketidakkonsistenan. Untuk kebanyakan perbandingan terdapat hanya satu kajian yang dimasukkan, dan sangat sedikit kajian yang dimasukkan yang melaporkan kesan sampingan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information