Mesej utama
Kami tidak pasti sama ada pembedahan setempat (LE) (pembuangan kanser rektal peringkat awal yang tidak merebak ke lapisan otot rektum melalui dubur, atau tahap I) boleh memendekkan tempoh bebas dari kanser selepas pembedahan berbanding pembedahan radikal (RR) (membuang seluruh salur rektum dan tisu-tisu sekelilingnya dengan pembedahan besar). Masih tidak jelas sama ada LE mempengaruhi kelangsungan hidup selepas kanser berbanding RR.
Mungkin terdapat pengurangan yang besar dalam komplikasi kecil selepas pembedahan (hanya memerlukan ubat-ubatan atau rawatan sokongan) dengan LE berbanding RR untuk rawatan kanser rektal peringkat awal. Masih tidak jelas sama ada LE menurunkan kadar komplikasi major/utama.
Berdasarkan hanya satu kajian, LE menghasilkan kualiti hidup dan fungsi otot sfinkter yang lebih baik.
Apakah kanser rektal peringkat awal?
Bagi pesakit kanser rektal satu pertiga daripada mereka dikesan pada peringkat awal dimana kanser tidak merebak melangkaui lapisan otot dinding usus; ini diklasifikasikan sebagai peringkat I atau kanser rektal awal. Pesakit kanser rektal peringkat awal mungkin mengalami pendarahan atau sakit dibahagian dubur, atau hanya dapat dikesan semasa pemeriksaan kolonoskopi. Kami menjalankan ulasan ini untuk membandingkan pembedahan standard untuk kanser rektal dengan pembedahan baru yang lebih kecil yang semakin banyak dijalankan dalam dekad terkini.
Bagaimanakah kanser rektal peringkat awal dirawat?
Rawatan yang disyorkan pada masa ini untuk kanser rektal peringkat I ialah pembedahan major bagi membuang rektum dengan semua tisu-tisu sekelilingnya, dikenali sebagai reseksi radikal (RR). Pembedahan besar ini membawa risiko komplikasi pembedahan dan fungsian yang signifikan. Terkini, rawatan alternatif menggunakan alatan canggih melalui dubur telah dipopularkan. Ini telah membolehkan pembuangan tumor dengan lebih tepat atau pemotongan setempat tumor dibuat dengan selamat melalui dubur dengan komplikasi yang lebih sedikit dan penyembuhan yang lebih cepat. Kadangkala terapi tambahan seperti kemoterapi atau radioterapi juga digunakan bersama, sebelum atau selepas pembedahan.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami membandingkan RR dengan LE untuk mengetahui sama ada LE berkesan seperti RR atau lebih baik dari segi:
1. Pengulangan semula penyakit dan kelangsungan hidup;
2. hasil yang diperolehi dari segi fungsi dan kualiti hidup;
3. kesan sampingan dan komplikasi selepas menjalani pembedahan.
Apa yang kami telah buat?
Kami mencari kajian yang membandingkan RR dengan LE di kalangan penghidap kanser rektal peringkat awal dengan atau tanpa menggunakan sebarang rawatan tambahan. Kami membandingkan, merumuskan dan menggabungkan keputusan rentas kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti.
Apa yang kami temui?
Kami menjumpai empat kajian yang melibatkan 266 penghidap kanser rektal peringkat awal dengan umur median 60 tahun yang menjalani RR atau LE. Peserta dikaji dari 17.5 bulan dalam kajian terpendek sehingga ke 9.6 tahun dalam kajian terpanjang. Tiga kajian dijalankan di negara Eropah dan satu di China. Satu kajian tidak menggunakan sebarang terapi tambahan; dua kajian menggunakan kimoterapi atau radioterapi sebelum pembedahan; dan satu kajian menggunakan kimoterapi selepas pembedahan bagi pesakit terpilih. Tiga daripada empat kajian tersebut dibiayai oleh agensi kerajaan.
Keputusan utama
Keputusan menunjukkan bahawa RR mungkin boleh mengurangkan kemungkinan penyakit berulang semula ditempat sama atau di organ badan yang lain. Ini bermakna bagi setiap 100 pesakit yang menjalani LE, kemungkinan sehingga 27 orang akan pengulangan semula penyakit pada tempoh 3 tahun berbanding 15 orang sahaja bagi setiap 100 orang selepas RR.
Hanya satu kajian melihat fungsi sfinkter dubur termasuk keupayaan untuk mengawal najis atau kentut, bilangan episod terberak dan keperluan untuk menggunakan lampin. RR dikaitkan dengan kemerosotan jangka pendek dalam kekerapan pembuangan najis, kentut, inkontinen, sakit perut dan rasa malu kerana terberak. Pada bulan ke 36 selepas pembedahan, pesakit dalam kumpulan LE secara keseluruhannya mempunyai frekuensi kekerapan pembuangan najis, frekuensi pembuangan najis di waktu malam yang lebih baik dan kurang rasa malu yang disebabkan terberak dan cirit-birit.
Tidak jelas sama ada LE mempengaruhi kelangsungan hidup pesakit selepas kanser. Selain itu, kajian-kajian tidak membentangkan hasil kajian dengan cara yang boleh membantu kami menjawab sama ada LE mempengaruhi kemungkinan penyakit berulang semula di pelvis.
Kami tidak pasti sama ada LE mengakibatkan penurunan kadar komplikasi major selepas pembedahan tetapi kami mendapati bahawa LE berkemungkinan besar menyebabkan pengurangan ketara dalam komplikasi kecil.
Satu-satunya kajian yang menilai kualiti hidup atau fungsi urinari dan seksual selepas pembedahan, melaporkan 90% atau lebih kebarangkalian LE meningkatkan kualiti hidup secara keseluruhan, pelbagai fungsi peranan/sosial/emosi, imej tubuh, kerisauan kesihatan dan terkucil. Kajian yang sama juga melaporkan fungsi seksual yang sama selepas kedua-dua pembedahan.
Apakah batasan bukti?
Kami mempunyai keyakinan yang rendah tehadap bukti terutamanya kerana ia hanya berdasarkan beberapa kajian sahaja dan juga disebabkan oleh cara kajian-kajian tersebut dilaksanakan. Tambahan pula ada kemungkinan hasil kajian boleh dipengaruhi oleh pesakit dan penyelidik yang mengetahui rawatan mana yang diterima oleh pesakit.
Sejauh mana bukti ini terkini?
Ulasan ini terkini sehingga Februari 2022.
Diterjemahkan oleh Salizawati Muhamad Salhimi, Universiti Sains Malaysia.Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my