Strategi susulan bagi peserta yang dirawat untuk kanser kolorektal bukan metastatik

Apakah isunya?

Kanser kolorektal mempengaruhi lebih kurang 1 dalam 20 orang di negara-negara berpendapatan tinggi. Kebanyakan pesakit (lebih kurang dua pertiga) mempunyai penyakit yang boleh sembuh. Susulan selepas pembedahan +/- rawatan kemoterapi biasanya bermaksud lawatan ke doktor serta menjalani beberapa ujian. Ramai orang percaya susulan dapat menyelamatkan nyawa, tetapi kami tidak pasti berapa kerap pesakit harus berjumpa doktor serta ujian apa yang patut diberi dan bila perlu diberi.

Mengapakah ini penting?

Susulan adalah mahal, boleh meresahkan pesakit di sekitar masa lawatan mereka, dan boleh menyusahkan. Ujian-ujian adalah mahal dan boleh memberi kesan sampingan. Jika ujian mendapati kanser berulang dalam seseorang yang berasa sihat tetapi rawatan tidak dapat menyembuhkan mereka, menemui kanser berulang mungkin tidak membantu mereka atau keluarga mereka.

Kami bertanya...

Kami bertanya jika susulan (iaitu ujian dan lawatan ke doktor) selepas kanser kolorektal dirawat membantu. Kami melihat pelbagai jenis susulan: beberapa berbanding tiada susulan; lebih banyak ujian berbanding sedikit ujian; dan susulan yang dilakukan oleh pakar bedah, pengamal perubatan umum (GP), atau jururawat.

Kami mendapati...

Kami mendapati 19 kajian yang memasukkan 13,216 peserta. Keputusan kami dibentangkan bersama pertimbangan kualiti yang mencerminkan betapa pastinya kami tentang keputusan. Kami mendapati susulan tidak memperbaiki survival keseluruhan (bukti berkualiti tinggi), survival kanser kolorektal spesifik (bukti berkualiti sederhana), ataupun survival bebas-relaps (bukti berkualiti tinggi). Jika pesakit menerima susulan, mereka lebih cenderung untuk pembedahan jika kanser dikesan semula (bukti berkualiti tinggi). Dengan susulan, lebih kanser relaps ‘senyap’ asimptomatik cenderung dikesan pada lawatan terancang (bukti berkualiti sederhana). Kesan sampingan yang memudaratkan (mudarat) daripada ujian adalah jarang, tetapi lebih susulan intensif boleh meningkatkan mudarat (dilaporkan dalam dua kajian; kualiti bukti sangat rendah). Kos mungkin meningkat dengan susulan yang lebih intensif (bukti berkualiti rendah). Susulan yang lebih intensif mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kualiti hidup (bukti berkualiti sederhana).

Ini bermakna...

Maklumat yang ada sekarang mencadangkan sedikit manfaat susulan intensif, tetapi bukti tentang kualiti hidup, mudarat dan kos juga terhad. Kami tidak tahu apakah cara terbaik untuk menyusul pesakit kanser kolorektal bukan metastatik yang dirawat, atau jika perlu disusul. Kami tidak banyak tahu tentang kos susulan di dalam persekitaran ini. Keperluan dan kebimbangan pengguna tentang nilai susulan memerlukan penyelidikan lanjutan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tan Shing Cheng (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi sctan@ukm.edu.my

Tools
Information