Hydroxyurea (juga dikenali sebagai hydroxycarbamide) untuk orang dengan penyakit sel sabit

Soalan ulasan

Apakah kesan hydroxyurea terhadap hasil klinikal (perubahan dalam krisis sakit, penyakit yang mengancam nyawa, survival, tahap hemoglobin, kualiti hidup dan kesan sampingan) dalam kalangan orang dengan sebarang genotip penyakit sel sabit (SCD)?

Latar belakang

Penyakit sel sabit SCD adalah gangguan genetik warisan yang menimbulkan masalah dengan hemoglobin (bahan dalam sel darah merah yang membawa oksigen ke seluruh badan). Penyakit ini boleh diwarisi dengan pelbagai cara; orang boleh mewarisi dua gen sabit (genotip HbSS) atau mereka boleh mewarisi gen sabit dari seorang ibu bapa dan gen hemoglobin yang berbeza seperti hemoglobin C, menghasilkan genotip HbSC atau gen talasemia beta daripada seorang lagi ibu bapa, yang menimbulkan HbSβ+ atau HbSβºthal.

Dalam kalangan orang dengan SCD, hemoglobin sabit yang abnormal membentuk polimer panjang (rantai) di dalam sel darah merah apabila tiada oksigen. Ini merosakkan sel darah merah dan menjadikannya lebih melekit, menyebabkan penyumbatan dan pengurangan aliran darah, menyebabkan sakit dan kerosakan organ. Hemoglobin janin (HbF) menghentikan polimer-polimer ini terbentuk dalam hemoglobin sabit dalam sel darah merah. Ubat hydroxyurea diguna untuk meningkatkan HbF dan mengurangkan kesan penyakit ini.

Ini adalah kemaskini Ulasan Cochrane yang diterbitkan terdahulu.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga 17 Februari 2022.

Ciri-ciri kajian

Kami sertakan sembilan kajian rawak terkawal (1104 dewasa dan kanak-kanak dengan SCD (genotip HbSS, HbSC atau HbSβºthal)). Kajian-kajian tersebut berlangsung dari enam hingga 30 bulan.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Di dalam lima kajian, 784 orang dewasa dan kanak-kanak dengan SCD dipilih secara rawak untuk menerima hydroxyurea atau plasebo. Di dalam dua kajian, 254 kanak-kanak dengan SCD, yang juga berisiko tinggi mengalami strok pertama atau kedua, dipilih secara rawak untuk menerima hydroxyurea dan phlebotomi (pengumpulan darah) atau transfusi darah dan pengkelatan (pemberian agen untuk membuang zat besi berlebihan dari badan). Ketujuh-tujuh kajian ini hanya merekrut orang dengan genotip HbSS atau HbSβºthal oleh itu keputusannya tidak boleh diaplikasi untuk orang dengan genotip HbSC.

Terdapat bukti berkualiti sederhana daripada tujuh kajian ini hydroxyurea boleh mengurangkan kekerapan krisis sakit, boleh meningkatkan HbF dan mungkin mengurangkan jumlah neutrofil (sel darah putih) berbanding rawatan pembanding. Kami dapati tiada perbezaan antara orang yang menerima hydroxyurea atau rawatan lain dari segi kualiti hidup, kematian semasa kajian dan kesan buruk (termasuk kesan serius dan mengancam nyawa). Walau bagaimanapun, terdapat kurang maklumat tentang hasil ini dalam kajian-kajian tersebut, oleh itu kualiti bukti adalah rendah.

Dua kajian lanjutan disertakan dalam ulasan ini. Dalam satu kajian, 22 kanak-kanak dengan SCD, yang juga berisiko tinggi untuk strok, dipilih secara rawak untuk menerima hydroxyurea atau tanpa rawatan (hanya pemerhatian) dan dalam satu kajian, 44 dewasa dan kanak-kanak dipilih secara rawak untuk menerima rawatan dengan atau tanpa menambahkan hydroxyurea. Dalam kedua-dua kajian kami tidak pasti jika hydroxyurea membawa kepada peningkatan HbF berbanding rawatan pembanding. Tiada kematian semasa kajian dijalankan. Tiada perbezaan antara orang yang menerima hydroxyurea atau rawatan lain dari segi krisis sakit dan kesan buruk (termasuk kesan serius atau mengancam nyawa) dan tiada kajian mengukur kualiti hidup. Kualiti bukti dari kajian-kajian ini sangat rendah, memandangkan kajian-kajian adalah sangat kecil dan hanya merekrut sekitar 20% dari jumlah sebenar dan keputusannya tidak boleh diaplikasi kepada semua orang dengan SCD (genotip berlainan).

Kesimpulan

Bukti menunjukkan hydroxyurea cenderung berkesan dalam jangka pendek untuk mengurangkan kekerapan episod sakit dan meningkatkan tahap HbF darah dalam kalangan orang dengan SCD. Hydroxyurea juga berkemungkinan berkesan mencegah strok pertama bagi mereka yang berisiko tinggi mengalami strok dan tidak dikaitkan dengan peningkatan sebarang kesan buruk (termasuk kesan serius dan mengancam nyawa).

Pada masa ini terdapat sedikit bukti daripada kajian-kajian yang kami nilai sama ada hydroxyurea bermanfaat dalam jangka masa panjang, apakah dos terbaik untuk diambil, atau sama ada rawatan menyebabkan sebarang kesan sampingan jangka panjang atau serius. Lebih banyak kajian diperlukan untuk menjawab soalan-soalan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information