Rawatan perubatan untuk kematian janin awal (kurang dari 24 minggu)

Apakah isunya?

Keguguran ialah kematian spontan dan/atau penyingkiran embrio atau janin daripada rahim sebelum ia dapat hidup dengan sendirinya. Kematian semulajadi embrio atau janin (‘kehamilan yang tidak dapat dilaksanakan’ atau ‘kematian janin intrauterin’, bergantung kepada tempoh kehamilan) boleh dikenal pasti melalui ultrasound sebelum berlakunya gejala seperti kehilangan darah dan sakit perut. Kadang kala embrio tersebut mungkin belum menjadi bentuk (‘kantung kosong’). Sebelum ini, rawatan untuk embrio/janin, biasanya dilakukan dengan pembedahan dilatasi dan kuretase (D&C), tetapi ubat-ubatan telah dihasilkan untuk menggantikan keperluan pembedahan yang mungkin dapat membantu dalam process penyingkiran. Misoprostol dan gemeprost adalah analog prostaglandin E sintetik yang dapat merangsang penyingkiran embrio/janin dari rahim. Mifepristone menyekat aktiviti progesteron, hormon yang menyokong kehamilan. Ubat ini serta ubat yang serupa mungkin dapat menolong penyingkiran pada wanita dengan kehamilan yang tidak dapat dilaksanakan dan boleh digunakan sebelum kehamilan 24 minggu.

Menunggu untuk penyingkiran spontan juga adalah berkemungkinan. Wanita yang mengekalkan embrio/janin yang mati boleh mengalami kehilangan darah yang serius atau mengalami jangkitan dalam rahim. Ini adalah komplikasi yang jarang berlaku. Kesan-kesan sampingan gastrousus seperti loya dan cirit-birit, kekejangan atau sakit perut dan demam telah dilaporkan dengan misoprostol.

Mengapakah ini penting?

Rawatan pembedahan mempunyai kelemahan kerana memerlukan anestesia. Ia membawa risiko kerosakan rahim atau serviks dan kemungkinan pembentukan tisu fibrous dalam lapisan dalaman rahim. Ini boleh dielakkan jika kehamilan yang tidak dapat dilaksanakan dirawat dengan ubat-ubatan, atau jika wanita tersebut dapat menunggu penyingkiran secara spontan.

Kami ingin mengetahui sama ada rawatan perubatan adalah serupa atau lebih baik daripada, rawatan pembedahan atau pengurusan kehamilan (menunggu untuk berlakunya penyingkiran). Seterusnya, kami membandingkan dos dan cara pemberian yang berbeza untuk mengesan rejimen mana yang paling kerap menyebabkan keguguran lengkap dengan kesan sampingan yang paling sedikit.

Apakah bukti yang kami temui?

Untuk ulasan yang dikemas kini ini, 43 kajian klinikal rawak yang melibatkan 4966 wanita dengan kehamilan yang tidak dapat dilaksanakan pada usia kehamilan kurang dari 24 minggu telah dimasukkan. Intervensi utama yang diperiksa adalah misoprostol vagina, sublingual, oral dan bukal, mifepristone dan gemeprost vagina. Ubat tersebut telah dibandingkan dengan pengurusan pembedahan, pengurusan kehamilan, plasebo atau pelbagai jenis intervensi perubatan dibandingkan antara satu sama lain. Empatbelas perbandingan mempunyai hanya satu kajian. Kajian-kajian berbeza dari segi risiko bias. Kualiti bukti berkisar dari sangat rendah atau rendah untuk kebanyakan perbandingan.

Misoprostol vagina mungkin boleh mempercepatkan keguguran apabila dibandingkan dengan plasebo tetapi menghasilkan sedikit perbezaan pada kadar loya, cirit-birit atau sama ada wanita berpuas hati dengan penerimaan kaedah tersebut. Adalah tidak pasti sama ada misoprostol vagina apabila dibandingkan dengan plasebo mengurangkan kehilangan darah atau kesakitan kerana kualiti bukti untuk hasil ini didapati sangat rendah.

Misoprostol vagina adalah kurang berkesan untuk menghasilkan keguguran lengkap berbanding dengan pengurusan pembedahan dan mungkin berkait dengan loya dan cirit-birit yang lebih kerap. Misoprostol vagina menyebabkan sedikit perbezaan pada jangkitan pelvis, kehilangan darah, kesakitan atau kepuasan/penerimaan wanita terhadap kaedahnya apabila dibandingkan dengan pengurusan pembedahan.

Terdapat sedikit perbezaan antara cara pemberian misoprostol dimana kajian membandingkan laluan vagina dengan meletakkannya di bawah lidah atau antara misoprostol oral dan vagina. Kajian-kajian tunggal mendapati mifepristone lebih berkesan daripada plasebo dan misoprostol vagina lebih berkesan berbanding dengan pengurusan kehamilan. Namun kualiti bukti ini didapati sangat rendah dan oleh itu kami tidak yakin dengan penemuan ini. Mifepristone nampaknya tidak memberikan manfaat tambahan apabila ditambah kepada misoprostol.

Apakah maksudnya?

Penggunaan misoprostol sebagai alternatif kepada rawatan pembedahan dapat mengurangkan keperluan pembedahan untuk wanita dengan kematian janin awal. Penggunaan misoprostol boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan seperti loya dan cirit-birit, tetapi risiko kehilangan darah yang serius atau jangkitan pelvis adalah tidak tinggi berbanding dengan rawatan pembedahan atau pengurusan kehamilan. Penyelidikan lebih lanjut adalah diperlukan mengenai dos ubat, cara pemberian ubat serta potensi kesan sampingan, termasuk kesuburan masa depan, dan juga pandangan wanita mengenai rawatan ubat, pembedahan dan menunggu untuk keguguran spontan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information