Berus gigi letrik berbanding berus gigi manual untuk mengekalkan kesihatan gigi dan mulut

Soalan ulasan

Ulasan ini dibuat untuk menilai kesan penggunaan berus gigi letrik berbanding berus gigi manual untuk mengekalkan kesihatan gigi dan mulut.

Latarbelakang

Kesihatan gigi dan mulut yang baik, melalui pembuangan plak (lapisan melekit yang mengandungi bakteria) dengan memberus gigi secara berkesan, mempunyai peranan penting dalam pencegahan penyakit gusi dan kerosakan gigi.Plak gigi adalah penyebab utama gingivitis (keradangan gusi) dan berkait dengan punca periodontitis, satu bentuk penyakit gusi yang serius yang mempengaruhi tisu penyokong gigi.Pengumpulan plak juga boleh menyebabkan kerosakan gigi.Kedua-dua penyakit gusi dan kerosakan gigi merupakan penyebab utama kehilangan gigi.

Terdapat pelbagai jenis berus gigi letrik untuk kegunaan umum dalam pelbagai harga dan cara tindakan.Berus gigi berkuasa bertindak dalam berbagai cara (misalnya pergerakan sisi atau pergerakan bulatan). Berus gigi letrik juga berbeza dari segi harga.Penting untuk mengetahui sama ada berus gigi letrik adalah lebih berkesan dalam menanggalkan plak, atau sama ada penggunaannya dapat mengurangkan keradangan gusi (gingivitis) dan mencegah atau melambatkan perkembangan penyakit periodontium.

Ciri kajian

Penulis-penulis daripada Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane menjalankan ulasan kajian sedia ada dan bukti adalah terkini sehingga 23 Januari 2014. Ia melibatkan 56 kajian yang terbit dari 1964 hingga 2011, melibatkan 5068 peserta yang menerima secara rawak berus gigi letrik atau berus gigi manual. Kebanyakan kajian melibatkan orang dewasa dan lebih 50% kajian menggunakan berus gigi letrik yang mempunyai pergerakan berpusing (di mana kepala berus gigi berputar dalam satu arah dan ke arah satu lagi).

Kepututsan utama

Bukti yang terhasil menunjukkan faedah mengguna berus gigi letrik berbanding berus gigi manual.Terdapat 11% pengurangan plak pada satu hingga tiga bulan penggunaan dan 21% pengurangan plak bila dinilai selepas tiga bulan penggunaan. Bagi gingivitis, terdapat 6% pengurangan pada satu hingga tiga bulan penggunaan dan 11% apabila dinilai selepas tiga bulan penggunaan. Namun faedah jangka panjang untuk kesihatan pergigian adalah tidak jelas.

Sebilangan kajian melaporkan kesan sampingan: sebarang kesan sampingan yang dilaporkan adalah bersifat setempat dan sementara sahaja.

Kualiti bukti

Bukti mengenai plak dan gingivitis adalah berkualiti sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail, Kolej Perubatan Melaka-Manipal. Disunting oleh Teguh Haryo Sasongko, Universiti Sains Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila berhubung dengan noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information