Mesej utama
- Kami tidak dapat membuat kesimpulan yang kukuh tentang mana-mana satu pendekatan untuk retensi kerana tiada keyakinan penuh terhadap bukti.
- Kajian-kajian yang lebih terancang diperlukan. Kajian-kajian harus mengukur kestabilan gigi selama sekurang-kurangnya dua tahun, berapa lama alat ‘retainer’ boleh bertahan, kepuasan pesakit dan sebarang kesan yang tidak diingini daripada ‘retainer’ seperti kerosakan gigi dan penyakit gusi.
Apakah masalahnya?
Gigi boleh menjadi tidak teratur semula selepas diluruskan dengan pendakap ortodontik ('relapse'). Pakar ortodontik cuba mencegahnya menggunakan pelbagai cara untuk mengekalkan aturan gigi lurus ('prosedur retensi'). Prosedur retensi boleh termasuk memakai alat ‘retainer’ tetap atau boleh tanggal yang dibuat khas, biasanya diperbuat daripada wayar atau plastik jernih, selepas pendakap ortodontik ditanggalkan. Alat ‘retainer’ boleh tanggal dipakai sepenuh masa atau separa masa. Alat ‘retainer’ dipasang di atas atau di sekeliling gigi, atau dilekatkan pada bahagian belakang gigi. Pakar ortodontik juga boleh menggunakan rawatan tambahan ('prosedur penunjang') seperti melicinkan sentuhan antara gigi ('pengurangan enamel interproksimal'), atau memotong fiber yang menyambungkan gusi dan leher gigi ('pericision').
Apa yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu cara terbaik untuk mengekalkan gigi pada kedudukan baharu selepas tamat rawatan dengan pendakap ortodontik dan sama ada terdapat sebarang kesan yang tidak diingini.
Apa yang kami buat?
Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan pelbagai jenis alat ‘retainer’ selepas rawatan dengan pendakap ortodontik, dan yang mengukur kesan selama sekurang-kurangnya tiga bulan selepas rawatan ortodontik. Kami ringkaskan keputusan-keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti.
Apakah yang kami dapati?
Kami mendapati 47 kajian dengan 4377 orang dewasa dan kanak-kanak. Kebanyakan kajian berlangsung di hospital, universiti atau amalan pakar, klinik NHS, atau campuran tempat. Kebanyakan kajian menilai alat ‘retainer’ boleh tanggal berbanding tetap; pelbagai jenis alat ‘retainer’ tetap atau bahan pengikat; atau pelbagai jenis alat ‘retainer’ boleh tanggal. Kebanyakan kajian mengukur kesan rawatan kurang daripada satu tahun.
Keputusan utama
Alat ‘retainer’ boleh tanggal berbanding tetap (8 kajian)
Gigi mungkin kembali ke kedudukan asal dengan memakai alat ‘retainer’ separa masa boleh tanggal yang diperbuat daripada plastik jernih berbanding dengan alat ‘retainer’ tetap, tetapi perbezaannya sangat kecil sehingga ia mungkin tidak penting. Jika alat ’retainer’ boleh tanggal dipakai sepenuh masa, mungkin tiada perbezaan antara alat-alat ‘retainer’ dalam pergerakan gigi. Alat ‘retainer’ plastik jelas yang dipakai separa masa mungkin gagal kurang daripada alat ’retainer’ tetap, tetapi apabila dipakai sepenuh masa mungkin lebih gagal. Kesihatan gusi yang lebih baik boleh dicapai dengan alat ‘retainer’ boleh tanggal plastik jernih berbanding alat ‘retainer’ tetap, tetapi tiada perbezaan ditemui dalam kerosakan gigi.
Pelbagai jenis alat ‘retainer’ tetap dan perekat untuk melekatkannya (21 kajian)
Alat ‘retainer’ tetap nitinol CAD/CAM (reka bentuk bantuan komputer/pengilangan berbantukan komputer) berbanding alat ‘retainer’ tetap wayar berbilang untai konvensional mungkin tidak berbeza dari segi keupyaan memegang posisi gigi lurus, kesihatan gusi atau berapa lama ia bertahan.
Alat ‘retainer’ komposit bertetulang gentian kurang jelas pada gigi oleh itu peserta lebih berpuas hati dengannya kerana penampilan mereka. Alat ‘retainer’ komposit bertetulang gentian mungkin sedikit lebih baik untuk mengekalkan gigi lurus, tetapi perbezaannya sangat kecil, ia mungkin tidak penting. Alat ‘retainer’ komposit bertetulang gentian mungkin lebih gagal lebih awal dan dikaitkan dengan lebih banyak masalah gusi daripada alat ‘retainer’ tetap berbilang lembar.
Pelbagai jenis alat ‘retainer’ boleh tanggal (16 kajian)
Kesan alat ‘retainer’ boleh tanggal Hawley berbanding plastik jernih dalam pergerakan gigi mungkin serupa, sama ada ia dipakai sepenuh atau separa masa. Alat ‘retainer’ plastik jelas mungkin memberi lebih kepuasan pesakit tetapi mungkin kurang bertahan berbanding alat ‘retainer’ Hawley.
Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami terhadap bukti adalah rendah kerana kajian-kajian adalah kecil dan tidak menggunakan kaedah terbaik. Sangat sedikit kajian melihat lebih daripada satu perkara yang kami minati. Kebanyakan kajian mengukur keputusan kurang daripada setahun selepas rawatan. Selain itu, kami tidak tahu berapa banyak keputusan kajian mungkin dipengaruhi oleh umur peserta dan sama ada mereka masih membesar, jenis masalah yang mereka hadapi dengan gigi sebelum pendakap gigi pertama mereka, dan apakah rawatan lain yang mereka jalani, seperti cabutan.
Sejauh manakah bukti ini adalah terkini
Bukti adalah terkini sehingga 27 April 2022. Ulasan ini mengemas kini satu ulasan asal yang diterbitkan pada 2004 dan terakhir dikemas kini pada 2016.
Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor's University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my