Ubat imunosupresif bukan kortikosteroid untuk gejala nefrotik sensitif steroid dalam kalangan kanak-kanak

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Apakah isunya?
Kanak-kanak dengan gejala nefrotik kehilangan sejumlah besar protein dari aliran darah ke dalam air kencing mereka, menyebabkan pembengkakkan, terutamanya di muka, perut dan kaki. Risiko jangkitan juga meningkat kerana protein penting yang digunakan oleh sistem imun kanak-kanak telah hilang. Ubat kortikosteroid, seperti prednison, dapat menghentikan kehilangan protein, tetapi ia sering berlaku lagi (kambuh). Memberi kortikosteroid kepada kanak-kanak boleh menyebabkan pertumbuhan yang lemah, katarak, osteoporosis dan tekanan darah tinggi.

Apa yang kami lakukan?
Untuk mengetahui sama ada terdapat bukti mengenai ubat bukan kortikosteroid untuk kanak-kanak dengan gejala nefrotik, dan untuk menilai apa faedah dan kemudaratan ubat ini, kami menganalisis 43 kajian yang melibatkan 2541 kanak-kanak.

Apakah yang kami dapati?
Kajian-kajian telah membandingkan beberapa ubat dan mendapati bahawa siklofosfamid, klorambucil, siklosporin, levamisole dan rituximab dibandingkan dengan kortikosteroid dapat mengurangkan risiko kambuh dalam kanak-kanak dengan gejala nefrotik sensitif steroid yang sering berulang.

Kesimpulan

Rituximab mungkin merupakan agen tambahan yang berharga untuk rawatan gejala nefrotik yang sering kambuh, di mana kambuh berterusan walaupun mendapat rawatan dengan agen bukan kortikosteroid yang lain. Kerana kajian-kajian, membandingkan secara langsung ubat lain, adalah terlalu kecil untuk menentukan sama ada agen lebih cenderung untuk mengekalkan remisi daripada yang lain, pada masa ini penggunaan levamisole, mycophenolate mofetil, perencat calcineurin, atau agen alkilating dapat dipertimbangkan untuk kanak-kanak dengan gejala nefrotik yang kambuh berdasarkan pilihan keluarga dan doktor. Kajian baru yang lebih besar adalah diperlukan yang membandingkan rawatan ubat yang berbeza untuk menentukan bagaimana ubat-ubatan ini patut digunakan dalam kalangan kanak-kanak dengan gejala nefrotik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my