Rawatan untuk pemfigoid bulosa

Rawatan manakah yang paling berkesan untuk bullous pemfigoid (penyakit kulit yang jarang berlaku dan akan mengakibatkan gatal dan lepuh)?

Mesej utama

• Krim yang mengandungi steroid topikal clobetasol propionate yang digunakan pada seluruh permukaan kulit adalah sama berkesannya dengan steroid oral (prednisone), menyebabkan kurang kesan yang tidak diingini atau berbahaya, dan boleh mengurangkan kematian.

• Memulakan rawatan dengan doxycycline (200 mg/hari), sejenis antibiotik uang mempunyai kesan anti-radang, membawa kepada kawalan lepuh jangka pendek yang boleh diterima berbanding prednisolone steroid oral (0.5 mg/kg/hari), dan lebih baik dalam aspek keselamatan jangka panjang jangka, termasuk kematian.

Apakah pemfigoid bulosa?

Pemfigoid bulosa adalah penyakit lepuh autoimun yang paling biasa. Dalam penyakit autoimun, sistem imun badan mengelirukan tisu-tisu sendiri sebagai asing dan menyerangnya. Dalam pemfigoid bulosa, ini menyebabkan lepuh pada kulit. Pemfigoid bulosa biasanya berlaku pada orang tua, tetapi juga boleh menjejaskan orang yang lebih muda.

Bagaimanakah pemfigoid bulosa dirawat?

Sehingga baru-baru ini, rawatan utama untuk pemfigoid bulosa adalah steroid oral yang menyekat keradangan dan sistem imun badan sendiri. Walau bagaimanapun, apabila steroid oral diberikan dalam jangka masa yang panjang, ia akan menyebabkan kesan buruk (iaitu berbahaya) yang teruk.

Ulasan ini menaksir kajian-kajian yang menyiasat keberkesanan pilihan rawatan lain untuk pemfigoid bulosa; contohnya, krim steroid yang digunakan pada kulit dan ubat antibiotik anti-radang, doxycycline.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui rawatan mana yang paling berkesan untuk pemfigoid bulosa berkenaan dengan penyembuhan lepuh (keberkesanan) dan pengurangan kesan sampingan, seperti kematian.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang melihat kepada rawatan pemfigoid bulosa. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami dapati?

Kami telah mendapati 14 kajian yang memasukkan 1442 orang dengan pemfigoid bulosa. Rawatan utama yang dinilai adalah steroid oral, steroid topikal, dan antibiotik anti-radang oral doxycycline. Rawatan lain yang diuji ialah imunosupresif (ubat yang mengawal sistem imun anda) oral dan imunoglobulin (juga dipanggil antibodi. Antibodi ialah protein yang dibuat oleh sistem imun anda untuk melawan kuman, contohnya).

- Krim steroid topikal, clobetasol propionate, disapu pada seluruh badan (40 gram krim digunakan setiap hari, dengan jumlah berkurangan selama 12 bulan) adalah rawatan yang berkesan dan selamat untuk pemfigoid bulosa.

- Rawatan dengan jumlah krim propionat clobetasol yang lebih rendah (10 hingga 30 gram sehari, dikurangkan selama 4 bulan) adalah sama berkesan dan selamat.

- Prednisolone, kortikosteroid oral, dalam dos 0.5 mg/kg/hari, mungkin mencukupi untuk mengawal penyakit pada kebanyakan orang dan mengurangkan kesan buruk berbanding dengan dos kortikosteroid oral yang lebih tinggi.

- Memulakan rawatan dengan 200 mg/hari doxycycline membawa kepada kawalan lepuh yang boleh diterima berbanding prednisolon oral (0.5 mg/kg/hari) dan lebih selamat.

- Satu kajian dengan 20 peserta mencadangkan bahawa nikotinamida (sejenis vitamin B 3 ) dan tetrasiklin (antibiotik yang digunakan untuk merawat pelbagai jenis jangkitan) mungkin merupakan alternatif yang berkesan kepada prednison dan boleh mengurangkan kematian yang berkaitan dengan rawatan.

- Menambah azathioprine, ubat yang menekan sistem imun, kepada kortikosteroid oral tidak meningkatkan kawalan penyakit; ia boleh menyebabkan pengurangan keperluan kortikosteroid oral.

- Penyelidikan lanjutan diperlukan untuk memahami sepenuhnya keberkesanan alternatif kepada steroid oral (seperti dapson atau immunoglobulin), serta keberkesanan pemberian ubat lain bersama steroid oral.

Apakah batasan bukti?

Kecuali untuk kajian mengenai krim clobetasol topikal dan doxycycline, kajian-kajian yang lain telah menyertakan peserta yang agak sedikit. Kualiti metodologi kajian ini lebih terhad kerana kaedah yang tidak jelas untuk memperuntukkan orang kepada kumpulan rawatan yang berbeza; kekurangan masking (peserta dan penyelidik tahu rawatan yang diberikan kepada orang mana, yang bukan keadaan yang baik untuk penilaian yang adil); dan pengecualian orang yang tercicir daripada kajian daripada analisis rawatan.

Kami yakin tentang keberkesanan memulakan rawatan dengan doxycycline dan agak yakin tentang keberkesanan krim clobetasol topikal untuk rawatan pemfigoid bulosa.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti terkini sehingga 11 November 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information