Soalan ulasan
Kami mengulas bukti untuk keberkesanan rehabilitasi kognitif untuk masalah ingatan pada orang yang mengalami strok.
Latar belakang
Orang sering bergelut dengan masalah ingatan selepas strok dan ini boleh membawa kepada kesukaran dalam kehidupan seharian. Tahap dan jenis masalah ingatan, perubahan mood, dan prestasi aktiviti seharian adalah berbeza bergantung pada banyak faktor, termasuk lokasi strok dalam otak, tahap keparahan, umur, dan kesihatan sebelumnya bagi orang yang mengalami strok.
Rehabilitasi ingatan, sebahagian daripada rehabilitasi kognitif, adalah aktiviti terapeutik yang mungkin memainkan peranan dalam pemulihan fungsi ingatan, atau dalam membolehkan individu menyesuaikan diri dengan masalah tersebut. Rehabilitasi ingatan adalah bahagian standard untuk rehabilitasi dalam banyak tetapan. Walau bagaimanapun, adalah tidak pasti sama ada rehabilitasi ingatan boleh menambahbaik masalah ingatan, atau sama ada ia mempunyai kesan terhadap mood, prestasi dalam aktiviti harian, atau kualiti hidup.
Ciri-ciri kajian
Bukti adalah terkini sehingga Mei 2016. Dalam ulasan ini, kami menyertakan 13 kajian dengan 514 peserta. Tujuh ujian telah dijalankan dengan peserta komuniti, empat dengan pesakit dalam, dan dua dengan sampel campuran komuniti dan pesakit dalam. Peserta menerima pelbagai jenis teknik latihan semula ingatan, termasuk latihan menggunakan program komputer dan latihan dalam penggunaan alat pembantu ingatan, seperti diari atau kalendar. Dalam tiga kajian rawatan disediakan secara berkumpulan dan dalam 10 kajian rawatan disediakan secara individu. Rawatan berlangsung antara dua minggu dan 10 minggu. Dalam kajian tersebut, mereka yang menerima rawatan dibandingkan dengan kumpulan kawalan. Kumpulan kawalan termasuk mereka yang tidak menerima rehabilitasi kognitif atau menerima bentuk rawatan lain. Kumpulan kawalan berbeza-beza. Sesetengah kajian mempunyai kumpulan kawalan di mana orang menerima penjagaan biasa mereka, manakala individu lain dalam kumpulan kawalan diletakkan dalam senarai menunggu untuk menerima rehabilitasi kognitif.
Keputusan utama
Kami mendapati bahawa orang yang menerima rehabilitasi kognitif melaporkan kurang masalah ingatan dalam kehidupan seharian sejurus selepas rawatan berbanding dengan kumpulan kawalan. Ini mewakili kesan kecil hingga sederhana intervensi berbanding dengan kumpulan kawalan. Walau bagaimanapun, tidak ada bukti bahawa manfaat itu berterusan dalam jangka masa panjang. Kami tidak menemui bukti bahawa rehabilitasi kognitif menambahbaik kebolehan orang dalam menjalankan aktiviti kehidupan harian tanpa bantuan, mood, atau kualiti hidup. Tiada maklumat mengenai sebarang kemudaratan yang ditimbulkan kepada peserta yang mengambil bahagian dalam rehabilitasi kognitif.
Kualiti bukti
Kualiti bukti adalah sangat rendah (kesan terhadap hasil yang berkaitan dengan aktiviti harian) hinggga sederhana (kesan terhadap masalah ingatan yang dilaporkan sendiri, ujian ingatan, dan ukuran mood). Terdapat beberapa kelemahan dalam kajian tersebut, seperti mempunyai bilangan peserta yang sangat sedikit, dan ini boleh mempengaruhi penemuan kami.
Diterjemahkan oleh Tang Kar Foong. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my