Mesej utama
• Tahap pemampatan yang tinggi mungkin lebih berkesan untuk mencegah ulser daripada berulang berbanding tahap mampatan yang lebih rendah atau tiada mampatan.
• Dalam jangka masa panjang, pesakit mungkin lebih cenderung untuk terus menggunakan stoking dengan mampatan yang lebih rendah.
Apakah ulser kaki vena?
Ulser kaki vena adalah luka yang kekal pada tempoh yang lama di kaki pesakit yang menghidap penyakit vena. Ianya boleh disebabkan oleh penyumbatan atau aliran darah yang perlahan dalam saluran darah yang membawa darah kembali ke jantung dari kaki.
Bagaimanakah ulser vena dirawat?
Pemampatan dengan penggunaan balutan atau sarung kaki (stoking panjang, stoking, seluar ketat) boleh membantu menyembuhkan kebanyakan ulser vena. Walau bagaimanapun, ulser kaki vena boleh kembali (berulang) selepas ia sembuh, atau ulser baharu boleh terjadi di lokasi yang berbeza. Penggunaan terapi mampatan yang berterusan selepas sembuh mungkin boleh mengurangkan kemungkinan ulser berulang.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui:
• sama ada mampatan menghalang berulangnya ulser vena di mana-mana bahagian kaki yang dirawat;
• apakah tahap, jenis, atau jenama alat mampatan yang terbaik untuk mencegah berulangnya ulser;
• sama ada pesakit benar-benar dapat menyesuaikan diri dengan penggunaan pemampatan dalam jangka panjang; dan
• jika terapi mampatan mempunyai kesan yang tidak diingini .
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang menilai pemampatan untuk mencegah berulangnya ulser vena. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut, dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apa yang telah kami temui?
Kami menemui lapan kajian yang layak, yang memasukkan 1995 orang dengan ulser vena yang sembuh. Kebanyakan peserta adalah wanita, dan purata umur berkisar daripada 58 hingga 78 tahun. Kajian dengan tempoh masa terpendek berlangsung selama enam bulan, dan kajian yang paling lama menilai kesan penggunaan terapi mampatan selama 10 tahun. Kajian-kajian tersebut menggunakan tahap pemampatan yang berbeza-beza (UK kelas 2, UK kelas 3, Eropah kelas 1, Eropah kelas 2,Eropah kelas 3) dan tiada pemampatan. Tiada kajian membandingkan panjang mampatan yang berbeza (contoh di bawah lutut berbanding dengan di atas lutut).
Keputusan utama
Stoking mampatan kelas 3 Eropah boleh mengurangkan kemungkinan ulser berulang berbanding tanpa pemampatan. Bagi setiap 1000 pesakit yang menggunakan stoking mampatan Eropah kelas 3, 210 orang boleh mengalami ulser berulang, berbanding 457 orang daripada setiap 1000 pesakit yang tidak menggunakan pemampatan.
Berkemungkinan terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko ulser berulang dengan penggunaan stoking mampatan Eropah kelas 1 dibandingkan stoking mampatan Eropah kelas 2.
Sarung kaki panjang mampatan UK kelas 3 mungkin lebih baik daripada sarung kaki mampatan UK kelas 2 untuk mencegah berulangnya ulser. Bagi setiap 1000 pesakit yang menggunakan sarung kaki mampatan UK kelas 3, 342 orang boleh mengalami ulser berulang, berbanding 530 orang daripada setiap 1000 pesakit yang menggunakan sarung kaki mampatan UK kelas 2. Walau bagaimanapun, pesakit yang menggunakan sarung kaki panjang kelas 3 lebih cenderung untuk menghentikan rawatan berbanding mereka yang menggunakan sarung kaki kelas 2 (215 orang bagi setiap 1000 pesakit yang menggunakan stoking kaki panjang kelas 3 berbanding dengan 148 bagi setiap 1000 orang yang menggunakan sarung kaki kelas 2).
Kemungkinan terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara dua jenama berbeza stoking mampatan UK kelas 2 (Scholl dan Medi) dari segi risiko ulser berulang dan kemungkinan pesakit menghentikan rawatan.
Kami tidak menemui maklumat tentang berapa lama tempoh masa bagi episod berulang, risiko ulser terjadi di kaki yang sebelah lagi, perkadaran masa semasa kajian bahawa pesakit tidak mempunyai ulser, tahap keselesaan atau kesan terapi mampatan yang tidak diingini.
Apakah batasan bukti?
Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti kerana peserta dalam kebanyakan kajian mengetahui rawatan yang mereka terima, disamping terdapat banyak variasi dalam tempoh kajian dijalankan, dan terdapat beberapa kajian yang melibatkan peserta yang sedikit.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Bukti yang digunakan di dalam ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga Ogos 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Zuraidah Che Man (Hospital Canselor Tuanku Muhriz). Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).