Latar belakang kepada soalan
Asma adalah keadaan pernafasan jangka panjang lazim yang mempengaruhi orang dewasa dan kanak-kanak di seluruh dunia. Individu-individu mungkin mengalami gejala-gejala yang semakin teruk dalam tempoh yang singkat, yang sering dikenali sebagai eksaserbasi (atau serangan asma). Eksaserbasi biasanya dirawat dengan meningkatkan ubat seseorang (seperti memberi tablet steroid untuk beberapa hari). Kadang kala eksaserbasi boleh dicetus oleh jangkitan seperti virus. Kadang kala, jangkitan bakteria di paru-paru atau saluran udara mungkin menyebabkan eksaserbasi. Gejala jangkitan bakteria termasuklah berbunyi di dada, demam, dan batuk yang mengeluarkan isipadu besar kahak yang berwarna. Jangkitan bakteria boleh disahkan oleh ujian makmal, sebagai contoh, ujian darah; walau bagaimanapun, ini tidak selalu tersedia di penjagaan primer (di GP). Jangkitan bakteria mungkin memerlukan rawatan dengan antibiotik.
Di dalam ulasan ini, kami ingin mengetahui sama ada antibiotik berguna dan selamat untuk orang dengan eksaserbasi asma. Sebahagian daripada motivasi untuk ulasan ini adalah kebimbangan bahawa antibiotik mungkin terlebih preskripsi untuk orang dengan eksaserbasi asma.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan sekumpulan orang yang diberi sebarang jenis atau dos antibiotik dengan sekumpulan orang yang tidak diberi antibiotik untuk eksaserbasi. Kami hanya memasukkan kajian-kajian di mana telah ditentukan secara kebetulan siapa yang akan menerima antibiotik. Kami memasukkan kajian orang dewasa dan kanak-kanak yang dijalankan pada bila-bila masa dan di mana sahaja di dunia.
Keputusan utama
Kami mendapati enam kajian yang melibatkan 681 orang dewasa dan kanak-kanak dengan asma. Dua daripada kajian ini dijalankan lebih dari 35 tahun yang lalu.
Secara keseluruhan, kami mendapati sedikit bukti yang menunjukkan antibiotik boleh memperbaiki gejala dan keputusan ujian pernafasan berbanding tanpa antibiotik. Kami tidak pasti tentang keputusan ini kerana hanya sebilangan kecil kajian dan orang yang dimasukkan dalam ulasan kami. Salah satu hasil utama kami - kemasukan ke unit penjagan intensif/unit rawatan separa rapi (ICU/HDU) - tidak dilaporkan.
Kami juga tidak pasti jika orang yang diberi antibiotik mempunyai lebih banyak atau kurang peristiwa buruk (kesan sampingan). Hanya 10 orang (5 diberi antibiotik dan 5 diberi plasebo/tanpa antibiotik) daripada 502 mempunyai peristiwa buruk yang serius.
Kami tidak menemui banyak bukti tentang hasil penting lain, seperti kemasukan ke hospital atau eksaserbasi lain semasa tempoh susulan kajian.
Kajian terbaharu mendapati sukar untuk merekrut orang dengan asma kerana begitu banyak daripada mereka telah diberi antibiotik dan tidak dapat mengambil bahagian.
Kualiti bukti
Secara keseluruhan, kami berkeyakinan rendah terhadap bukti yang dibentangkan dalam ulasan ini. Kami fikir mungkin beberapa kajian antibiotik untuk eksaserbasi asma telah dijalankan tetapi tidak diterbitkan kerana kami menemui sedikit kajian mengenai soalan penting itu. Kami juga bimbang tentang sejauh mana penemuan kajian diaplikasi kepada semua orang dengan serangan asma kerana kebanyakan kajian yang kami dapati hanya merekrut orang-orang di hospital dan jabatan kecemasan. Juga, dua kajian adalah kajian lama, dan rawatan asma telah banyak berubah dalam tempoh 30 tahun. Oleh kerana hanya beberapa kajian ditemui, dalam beberapa kes kami tidak tahu jika antibiotik lebih baik, lebih buruk atau sama seperti tanpa antibiotik. Akhirnya, kami punyai beberapa kebimbangan tentang perlaksanaan kajian, contohnya, dalam satu kajian kedua-dua pesakit dan kakitangan kajian mengetahui siapa yang mendapat antibiotik dan yang tidak; ini mungkin mempengaruhi tingkah laku pesakit atau kakitangan.
Kesimpulan
Kami mendapati bukti yang sangat terhad bahawa antibiotik boleh membantu orang yang mengalami serangan asma, dan kami masih tidak pasti. Secara khusus, kami tidak banyak mendapat maklumat mengenai hasil penting seperti kemasukan hospital atau kesan sampingan. Walau bagaimanapun, kesan sampingan yang serius jarang berlaku dalam kajian-kajian yang kami dapati.
Diterjemah oleh Ng Chia Shyn (International Medical University). Dikemaskini oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com