Semasa serangan asma, saluran pernafasan (saluran ke paru-paru) mengecut disebabkan oleh kekejangan otot dan bengkak (keradangan), perkara ini menyebabkan kesukaran bernafas, nafas berbunyi dan batuk. Serangan asma boleh menjadi sangat teruk dan boleh menyebabkan kematian. Ubat utama yang digunakan untuk melegakan serangan asma yang teruk adalah bronkodilator (sedutan pelega untuk membuka paru-paru dan saluran pernafasan) untuk mengurangkan kekejangan otot dan kortikosteroid (ubatan pencegah untuk mengurangkan keradangan dalam paru-paru dan saluran pernafasan). Ubat aminophylline juga telah diguna secara intravena (disuntik ke dalam salur darah) untuk rawatan asma selama beberapa tahun; walaubagaimanapun, ulasan kajian ini mendapati aminophylline tidak memberi kesan yang lebih baik berbanding ubatan bronkodilator yang lain, ia juga mempunyai lebih banyak kesan sampingan. Bagi setiap 100 orang yang dirawat dengan aminophylline terdapat tambahan 20 orang yang mengalami muntah dan 15 orang aritmia (dengupan jantung yang tidak stabil) atau palpitasi. Penerbitan pertama ulasan ini ialah dalam tahun 2000 dan dikemaskini dalam 2012. Penambahan dua kajian dalam ulasan tahun 2012 tidak mengubah kesimpulan asal.
Diterjemahkan oleh Noor Salwah S.Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my