Wanita harus sedar risiko sebenar mereka untuk mendapat kanser payudara dan had bukti semasa apabila mempertimbangkan mastektomi bagi keperluan pengurangan-risiko

Soalan ulasan

Kami mengkaji bukti-bukti mengenai sama ada mastektomi bagi mengurangkan risiko (RRM) boleh mengurangkan kadar kematian daripada mana-mana sebab dalam kalangan wanita yang tidak pernah mempunyai kanser payudara dan wanita yang mempunyai sejarah kanser payudara dalam satu payudara. Selain itu, kami mengkaji kesan RRM ke atas impak yang lain, iaitu insiden kanser payudara, kematian kanser payudara, kemandirian bebas daripada penyakit, morbiditi fizikal dan impak psikososial.

Latar belakang

Kemajuan terkini dalam memahami asas genetik kanser payudara dan laporan meluas selebriti yang menjalani RRM telah meningkatkan perhatian kepada RRM sebagai kaedah untuk mencegah kanser payudara.

Ciri-ciri kajian

Enam puluh-satu kajian melaporkan data 15,077 wanita yang telah menjalani RRM dengan pelbagai faktor risiko untuk mendapat kanser payudara. Mastektomi pengurangan-risiko termasuk sama ada pembedahan pembuangan kedua-dua payudara untuk mengelakkan kanser payudara (mastektomi pengurangan-risiko dwisisi atau BRRM), atau pembuangan payudara tanpa penyakit dalam kalangan wanita yang mempunyai kanser dalam payudara yang satu lagi untuk mengurangkan kejadian kanser payudara pada payu dara yang tersebut (mastektomi pengurangan-risiko kontralateral atau CRRM). Bukti adalah terkini sehingga Julai 2016.

Keputusan utama

Kajian-kajian BRRM melaporkan bahawa ianya mengurangkan insiden kanser payudara atau bilangan kematian atau kedua-duanya, tetapi banyak kajian-kajian ini mempunyai kelemahan dalam aspek metodologi. Selepas BRRM, kebanyakan wanita berpuas hati dengan keputusan mereka, tetapi dilaporkan kurang kepuasan dengan hasil kosmetik, imej badan dan perasaan seksual. Salah satu komplikasi RRM ialah keperluan untuk pembedahan tambahan diluarjangkaan, terutamanya dalam kalangan wanita yang menjalani pembedahan pembentukan semula selepas RRM. Walau bagaimanapun, kebanyakan wanita juga mengalami pengurangan kebimbangan untuk menderita kanser payudara dan mati akibat kanser payudara bersama-sama dengan kekurangan kepuasan imej badan dan perasaan seksual

Dalam kalangan wanita yang mempunyai kanser pada satu payudara, pembuangan payudara lain (CRRM) mungkin mengurangkan kejadian kanser di payudara tersebut, tetapi tidak terdapat bukti yang mencukupi bahawa ini meningkatkan kelangsungan hidup kerana risiko berulang yang berterusan atau penyebaran dari kanser asal.

Walaupun kajian pengamatan (observational studies) yang telah diterbitkan menunjukkan bahawa BRRM adalah berkesan dalam mengurangkan insiden, dan kematian akibat kanser payu dara, kajian prospektif yang lebih teliti dicadangkan. BRRM harus dipertimbangkan terhad dalam kalangan mereka yang berisiko tinggi, contohnya, pembawa mutasi pada gen kanser payudara, BRCA1 dan BRCA2. CRRM telah ditunjukkan dapat mengurangkan insiden kanser payudara kontralateral (CBC), tetapi tidak terdapat bukti yang mencukupi bahawa CRRM meningkatkan kelangsungan hidup. Kajian yang mengawal lebih daripada satu faktor pembolehubah yang boleh menjejaskan keputusan adalah disyorkan. Pengesyoran atau pilihan wanita yang lebih sihat dan muda untuk CCRM adalah suatu keserongan pilihan yang mungkin menghasilkan jumlah kemandirian keseluruhan yang lebih baik untuk CRRM.

Kualiti bukti

Hanya lebih separuh daripada kajian-kajian ini didapati mempunyai risiko rendah dalam keserongan pemilihan, iaitu kajian yang telah melaraskan perbezaan sistematik dalam prognosis dan respons terhadap rawatan antara kumpulan. Demikian juga, 60% kajian mempunyai risiko rendah dalam keserongan pengesanan, iaitu kajian yang telah mempertimbangkan perbezaan sistematik dalam cara hasil kajian diukur dan dikesan. Punca utama bagi kedua-dua keserongan pemilihan dan pengesanan adalah tiadanya kawalan terhadap semua faktor pembauran utama, misalnya, faktor risiko atau pasien menjalani salpingo-oophorectomi bagi pengurangan risiko dwi sisi (BRRSO - pembedahan untuk membuang tiub Falopio dan Ovari) dalam peserta kajian dan kumpulan kawalan. Keserongan prestasi (pengesahan mastektomi pengurangan-risiko) tidak menjadi masalah, kerana kebanyakan kajian adalah berdasarkan laporan pembedahan; tiga bergantung pada laporan sendiri dan lapan tidak jelas kerana pelbagai sumber data dan/atau tempoh masa yang luas. Keserongan pengurangan adalah berisiko tinggi atau tidak jelas dalam kira-kira 13% kajian. Purata atau median tempoh susulan yang dilaporkan adalah dari satu hingga 1 - 22 tahun.

Kesimpulan

Memandangkan bilangan wanita yang mungkin telah mendapat rawatan berlebihan dengan BRRM/CRRM, ia adalah amat penting untuk wanita dan pakar klinikal memahami risiko sebenar bagi setiap wanita sebelum mempertimbangkan pembedahan. Di samping itu, pertimbangan juga harus diberikan kepada pilihan lain untuk mengurangkan risiko kanser payudara, seperti BRRSO dan kemoterapi pencegahan apabila mempertimbangkan RRM.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Disunting oleh Teguh Haryo Sasongko (International Medical University). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi mltan@pmc.edu.my

Tools
Information