Program pengurusan penyakit untuk kegagalan jantung

Soalan ulasan

Kami menyelidik kesan program pengurusan penyakit terhadap kematian akibat kegagalan jantung atau daripada sebab lain, kemasukan semula ke hospital untuk kegagalan jantung atau sebab lain, kesan buruk, kualiti kehidupan dan keberkesanan kos, dalam kalangan orang dewasa yang telah dimasukkan ke hospital sekurang-kurangnya sekali untuk kegagalan jantung.

Latar belakang

Kegagalan jantung mempengaruhi kualiti kehidupan seseorang, sering menjadi penyebab kemasukan ke hospital dan risiko kematian yang tinggi. Terapi ubat tradisional adalah rawatan utama, tetapi orang mungkin memperoleh manfaat daripada sokongan tambahan daripada program pengurusan penyakit yang menyasarkan untuk menyediakan sokongan berterusan berbanding pengurusan krisis. Program seperti ini mungkin dijalankan oleh pakar jururawat, sebagai intervensi berasaskan klinik, atau pasukan pelbagai disiplin. Sokongan berasaskan komuniti seperti ini dapat membantu menjauhkan orang dari hospital dengan meningkatkan pengurusan gejala dari hari ke hari dan menyediakan 'sistem amaran awal' untuk perubahan yang memerlukan perhatian perubatan.

Kriteria pemilihan

Kami melakukan pencarian secara menyeluruh untuk semua kajian yang menyelidik intervensi pengurusan penyakit tertentu kegagalan jantung untuk orang dewasa yang telah dimasukkan ke hospital sekurang-kurangnya sekali kerana kegagalan jantung (bukti terkini hingga 9 Januari 2018).

Keputusan dan kesimpulan

Kami menyertakan 47 kajian, dengan sejumlah 10,869 peserta. Dua puluh lapan kajian adalah intervensi pengurusan kes, tujuh adalah model berasaskan klinik, sembilan adalah intervensi pelbagai disiplin dan tiga tidak dapat dikategorikan sebagai salah satu daripadanya. Purata umur orang dalam kebanyakan kajian adalah antara 67 dan 80 tahun, walaupun 10 kajian mempunyai purata peserta yang lebih muda, dan satu melibatkan kebanyakan orang yang sangat tua. Sebilangan besar kajian dilakukan di Eropah dan Amerika Utara, tetapi yang lain dilakukan di China, Taiwan, Iran dan Jepun.

Kami menemui bukti terhad untuk kesan terhadap kematian akibat kegagalan jantung, sebagaimana beberapa kajian yang melaporkan hasil ini. Terdapat beberapa bukti bahawa pengurusan kes dapat mengurangkan kematian atas semua sebab, dan intervensi pelbagai disiplin mungkin berlaku, tetapi kajian berasaskan klinik nampaknya sedikit atau tidak memberi kesan terhadap perkara ini. Kemasukan semula akibat kegagalan jantung dan sebarang sebab adalah mungkin dikurangkan oleh intervensi pengurusan kes. Intervensi berasaskan klinik mungkin membuat sedikit atau tidak ada perbezaan untuk kemasukan semula kegagalan jantung dan boleh mengakibatkan sedikit atau tidak ada perbezaan dalam kemasukan semula untuk sebarang sebab. Intervensi pelbagai disiplin mungkin mengurangkan risiko kemasukan semula untuk kegagalan jantung atau sebarang sebab.

Hanya dua kajian menyebut tentang peristiwa buruk, kedua-duanya menyatakan ia tidak berlaku. Banyak kajian mengukur kualiti kehidupan, tetapi sukar untuk membuat kesimpulan bagi sebarang kesan kerana mereka cenderung melaporkannya dengan pelbagai cara dan tidak melaporkannya untuk semua peserta mereka. Data mengenai kos dan keberkesanan kos adalah terhad, tetapi menunjukkan sedikit manfaat program pengurusan penyakit, kebanyakannya disebabkan pengurangan kos kemasukan semula ke hospital.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah sangat rendah untuk kematian kerana kegagalan jantung, rendah hingga sederhana untuk kematian semua sebab, rendah hingga sederhana untuk kemasukan semula kegagalan jantung, dan kemasukan semula bagi semua sebab, sederhana untuk peristiwa buruk (jika ada), rendah hingga sangat rendah untuk kualiti kehidupan dan rendah hingga sederhana untuk kos. Kualiti bukti adalah penting kerana ia memberi impak terhadap kepastian kita tentang kesan intervensi terhadap hasil yang kita minat. Sebagai contoh, jika bukti berkualiti rendah, kita tidak dapat memastikan kesan intervensi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal (Persatuan Penterjemah Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information